SHAH ALAM, 30 OKT: Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera selepas lori dinaiki membawa muatan minyak masak terbabas di Jalan Tamparuli - Ranau berhampiran pusat rekreasi Murug-Turug Eco Tourism (MTET) di sini, tengahari, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Tuaran, Mohammad Nor Amit berkata, bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 1.02 tengah hari.
Katanya, lapan anggota termasuk pegawai bergegas ke lokasi dengan satu jentera dan kenderaan utiliti Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
"Sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati terdapat seorang mangsa lelaki cedera yang juga kelindan lori berusia 18 tahun yang dikeluarkan oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba.
"Seorang lagi mangsa, pemandu lori berusia 30 tahun dipercayai tercampak keluar dari kenderaan," katanya ketika dihubungi.
Beliau memaklumkan pemeriksaan lanjut mendapati mangsa lelaki yang berusia 30 tahun itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi.
Mohammad Nor berkata, mangsa yang cedera diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan, manakala mayat diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut.
"Pasukan bomba turut memeriksa kenderaan yang terbabit kemalangan dan sekitar lokasi bagi memastikan tiada punca bahaya lain."
"Punca kejadian masih dalam siasatan manakala operasi ditamatkan pada jam 2.10 petang," katanya.




