SHAH ALAM, 13 JUN: Seorang kelindan lori ditahan selepas menyamun beberapa kedai serbaneka 24 jam di Melaka Tengah untuk mendapatkan wang akibat dibelenggu hutang, termasuk along.
Pemangku Ketua Polis Melaka Tengah, Halim Abas, berkata suspek 27 tahun itu ditahan di Solok Bukit Bayan, Bukit Katil kira-kira 3.30 petang kelmarin.
Menurutnya, enam kes samun kedai serbaneka 24 jam di sekitar daerah itu membabitkan kerugian kira-kira RM1,500 selesai.
“Lelaki berusia 27 tahun itu diberkas sepasukan pegawai dan anggota Cawangan Siasatan Khas (D9), Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di Solok Bukit Bayan, Bukit Katil kira-kira pukul 3.30 petang semalam.
“Suspek dipercayai menyasarkan premis kedai serbaneka 24 jam di sekitar daerah itu dengan kebanyakan mangsanya terdiri daripada pekerja wanita yang bertugas di kaunter pembayaran,” katanya menerusi kenyataan.
Menurutnya, modus operandi suspek adalah dengan berpura-pura menjadi pelanggan sebelum bertindak mengacukan pisau kepada mangsa.
“Suspek akan mengambil beberapa barangan dan berpura-pura membuat pembayaran di kaunter sebelum mengeluarkan pisau serta memaksa mangsa menyerahkan wang tunai dari laci kaunter.
“Selepas memperoleh wang tersebut, suspek akan melarikan diri menggunakan motosikal yang telah diletakkan berhampiran premis,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata, suspek yang tiada rekod jenayah lampau dan negatif dadah, mengaku menyamun kerana berhutang dengan along serta individu lain.
Suspek di reman selama tujuh hari sehingga 18 Jun ini bagi membantu siasatan.







