MyKad Generasi Baharu: Tidak perlu tukar MyKad lama jika masih elok - JPN

17 Sep 2026, 6:32 AM
MyKad Generasi Baharu: Tidak perlu tukar MyKad lama jika masih elok - JPN

SHAH ALAM, 17 SEPT: Pemegang MyKad sedia ada tidak perlu menukar kad pengenalan mereka kepada MyKad Generasi Baharu sekiranya kad lama masih dalam keadaan baik.

Menurut soalan lazim di laman web rasmi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), orang awam juga tidak perlu hadir ke JPN semata-mata untuk menukar MyKad sedia ada.

Bagaimanapun, pemegang MyKad yang ingin mendapatkan kad baharu digalakkan membuat janji temu terlebih dahulu menerusi sistem MyJanjiTemu JPN bagi memudahkan urusan di kaunter.

Bayaran pemprosesan bagi permohonan MyKad baharu pula adalah tertakluk kepada kategori permohonan dan kadar yang ditetapkan JPN.

Bagi pemohon yang memilih untuk menukar kad, MyKad Generasi Baharu boleh diterima pada hari sama di 40 cawangan terpilih yang dilengkapi kemudahan Pusat Cetakan, termasuk cawangan di Pusat Transformasi Bandar (UTC).

Bagi cawangan JPN yang tidak mempunyai kemudahan cetakan, MyKad Generasi Baharu akan disiapkan dalam tempoh lima hari bekerja.

Puteri Nur Syafiqah Jailani (kiri) bersama Intan Syerina Ahmad Nizam menunjukkan kad pengenalan baharu pada hari pertama pengeluaran MyKad generasi baharu di Jabatan Pendaftaran Negara Putrajaya pada 17 September 2026. Foto BERNAMA

Dari segi urusan bantuan kerajaan, MyKad baharu masih boleh digunakan bagi bantuan atau subsidi yang menggunakan kad berkenaan sebagai medium pengesahan atau penebusan, tertakluk kepada syarat kelayakan ditetapkan agensi berkaitan.

JPN turut menjelaskan pertukaran kepada MyKad Generasi Baharu tidak menyebabkan baki atau kelayakan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) pemegangnya hilang.

Bagaimanapun, kemudahan Touch 'n Go tidak lagi tersedia dalam MyKad Generasi Baharu.

Orang ramai masih boleh menggunakan perkhidmatan Touch 'n Go menerusi aplikasi eWallet Touch 'n Go atau kad Touch 'n Go secara berasingan.

JPN turut memaklumkan pengeluaran MyKad Generasi Baharu tidak mengubah nombor kad pengenalan atau maklumat peribadi yang terdapat dalam rekod MyKad lama.

MyKad Generasi Baharu kekal sebagai dokumen pengenalan diri rasmi rakyat Malaysia.

JPN sebelum ini memaklumkan MyKad versi baharu itu dilengkapi 53 ciri keselamatan berbanding 23 ciri keselamatan pada versi terdahulu.

Dalam hantaran di media sosial, JPN menyifatkan MyKad Generasi Baharu sebagai evolusi identiti nasional yang seiring dengan perubahan zaman.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.