SHAH ALAM, 12 SEPT: Pemalsuan MyKad masih menjadi ancaman, namun Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) setakat ini belum menemui kes cip kad pengenalan diklon atau dipalsukan.
Penolong Pengarah Siasatan Bahagian Penguatkuasaan JPN Putrajaya, Zalipah Ramli berkata pemalsuan MyKad yang dikesan hanya membabitkan fizikal kad, manakala cip masih dalam keadaan selamat.
Jelas beliau, kebiasaannya cip pada MyKad palsu akan dirosakkan supaya tidak dapat dibaca ketika proses pengesahan.
“Berdasarkan operasi yang telah dijalankan JPN, kita belum menemui cip MyKad yang berjaya diklon atau dipalsukan,” katanya dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor.

Zalipah berkata kualiti MyKad palsu bergantung kepada harga yang dibayar, dengan kad berharga RM30, RM50 atau RM100 lebih mudah dikenal pasti menerusi pemeriksaan fizikal.
Jelasnya, antara ciri yang boleh dikesan termasuk ketebalan kad dan mutu tulisan yang kelihatan kembang serta tidak tajam seperti MyKad tulen.
Bagaimanapun katanya, MyKad palsu yang dibeli dengan harga mencecah ribuan ringgit sukar dikenal pasti melalui pemerhatian fizikal dan perlu disahkan menggunakan elemen biometrik serta sistem pengesahan JPN.
Menurutnya, antara modus operandi yang dikesan ialah menukar gambar pada kad pengenalan sebelum digunakan individu lain, namun penipuan itu boleh dikesan apabila cap jari pengguna tidak sepadan dengan rekod dalam sistem JPN.
Zalipah berkata keadaan sama berlaku apabila warga asing menggunakan MyKad milik rakyat tempatan kerana nombor kad pengenalan dan maklumat pada kad mungkin sepadan dengan pemilik sebenar, tetapi cap jari pengguna tidak sepadan.
“Apabila biometrik diambil, sistem akan menunjukkan cap jari tidak sepadan atau tidak sepadan dengan mana-mana rekod dalam sistem JPN,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata JPN melaksanakan 653 operasi penguatkuasaan di seluruh negara termasuk Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan dari Januari hingga 15 Ogos lalu.
Operasi berkenaan membawa kepada tangkapan 333 individu atas pelbagai kesalahan, dengan 262 tangkapan atau 78.68 peratus membabitkan kesalahan berkaitan kad pengenalan.
Manakala 71 tangkapan lagi membabitkan kesalahan di bawah Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299), termasuk memberikan maklumat palsu ketika pendaftaran kelahiran atau mengemukakan dokumen palsu.
“Antara kesalahan utama berkaitan kad pengenalan ialah menggunakan kad pengenalan palsu serta kad pengenalan milik orang lain,” katanya.
Menurutnya, dokumen pengenalan tersebut turut dikesan digunakan untuk mendapatkan pekerjaan, kemudahan perubatan serta subsidi atau bantuan kerajaan seperti BUDI95 dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Katanya, JPN turut menerima aduan daripada pemilik sebenar MyKad yang mendapati kad pengenalan mereka digunakan pihak lain tanpa pengetahuan, dengan siasatan dilakukan melalui risikan, operasi dan pengesahan identiti serta kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia.
Zalipah turut mengingatkan orang ramai tidak meminjamkan MyKad atau memiliki kad pengenalan yang bukan miliknya kerana boleh didakwa di mahkamah dan, jika sabit kesalahan, dikenakan hukuman penjara tiga tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya sekali.










