PELABUHAN KLANG, 9 SEPT: Seramai 365 warga asing didakwa di mahkamah atas pelbagai kesalahan berkaitan penyalahgunaan MyKad dan sijil kelahiran dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini.
Pengarah Penguatkuasaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Mazhad Abdul Aziz berkata jumlah itu hasil 738 operasi yang dijalankan bersama dengan pelbagai agensi di seluruh negara termasuk di premis dan kilang bagi mengesan penggunaan dokumen pengenalan palsu.
“Daripada jumlah itu, 286 kes membabitkan penggunaan kad pengenalan palsu atau milik orang lain manakala 79 lagi berkaitan sijil kelahiran palsu, dengan kebanyakan yang ditahan merupakan warga Indonesia dan Filipina,” katanya
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengetuai Ops Layar di sebuah kilang percetakan di Bandar Sultan Suleiman di sini malam ini.
Mazhad berkata tindakan pendakwaan dilakukan mengikut Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 serta Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 [Akta 299].
“JPN akan terus menggerakkan operasi penguatkuasaan termasuk secara bersepadu atau terancang bagi membanteras kegiatan berkenaan," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata Ops Layar selama empat jam bermula 5 petang melibatkan 52 anggota JPN Putrajaya, Selangor dan Kuala Lumpur selain 15 anggota Jabatan Imigresen Malaysia Putrajaya serta Jabatan Tenaga Kerja Selangor.
“Seramai 195 individu diperiksa termasuk 63 warga tempatan yang memiliki kad pengenalan sah.
“Tiga wanita berusia antara 21 hingga 37 tahun dipercayai warga Indonesia ditahan kerana disyaki menggunakan salinan kad pengenalan palsu atau milik individu lain bagi mendapatkan pekerjaan di kilang itu,” katanya.







