PUTRAJAYA, 17 SEPT: Orang ramai menyifatkan pengeluaran MyKad generasi baharu dilengkapi 53 ciri keselamatan bermula hari ini sebagai penambahbaikan yang positif dari sudut teknologi dan ciri keselamatan sekali gus memperkukuh perlindungan identiti.
MyKad generasi baharu dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) itu adalah kad pengenalan generasi ketujuh dinaik taraf daripada 23 kepada 53 ciri keselamatan yang lebih moden dan selamat bagi memenuhi keperluan masa kini.
Pelajar, Puteri Nur Syafiqah Jailani, 19, berkata beliau teruja memiliki MyKad generasi baharu pada hari pertama kad pengenalan diri itu dikeluarkan serta menyifatkan proses penukaran di JPN adalah mudah dan cepat.
“Sebenarnya saya tidak tahu MyKad baharu dikeluarkan hari ini. Apabila tiba di JPN saya lihat ada pemakluman MyKad baharu.
“Saya terus hubungi ibu dan teruja memiliknya, memang ciri keselamatan lebih baik dan saya juga lihat pemakluman mengenai penambahbaikan ciri keselamatan yang diuarkan di TikTok,” katanya ketika ditemui.
Beliau berkata orang ramai dinasihatkan membuat janji temu sebelum hadir ke JPN bagi memudahkan proses penukaran MyKad.
“Kalau kita telah buat janji temu, proses dapat nombor giliran adalah lebih pantas dan tempoh menunggu tidak lama,” katanya.
Shaza Nuizeaan Shafie, 48 dari Puchong, Selangor berkata proses penukaran MyKad generasi baharu itu amat mudah dan MyKad itu juga lebih menarik.
Katanya, beliau hadir ke JPN, Putrajaya untuk membuat MyKad bagi anaknya Nur Ataa Iqra Abdul Wahab, 21, dan Nur Amnaa Irbah yang kini berusia 12 tahun.
“Saya buat janji temu pada 9.50 pagi namun tiba awal, alhamdulillah memang prosesnya cepat dan MyKad baharu ini juga cantik. Ada beberapa ciri keselamatan baharu dan sangat bagus untuk lindungi identiti pemilik kad,” katanya.
Khairul Anuar Azizan, 47, pula memuji kakitangan JPN yang mengendalikan pengeluaran MyKad generasi baharu dengan pantas dan baik demi kepentingan pengguna.
“Proses memang cepat dan kami tidak perlu menunggu lama. Orang ramai memang teruja dengan MyKad baharu ini,” katanya.
Pekerja swasta Foo Yew Jin, 36, berkata MyKad generasi baharu nampak lebih selamat dan mempunyai ciri keselamatan yang dipertingkatkan daripada pelbagai aspek.
“Kad ini nampak lebih keras mungkin susah patah dan mungkin akan ditambah baik dan mempunyai lebih banyak fungsi pada masa depan,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menasihatkan orang ramai supaya tidak berpusu-pusu ke pejabat JPN untuk menukar MyKad kepada versi baharu apabila permohonan dibuka mulai hari ini.
Beliau berkata penukaran MyKad baharu dilengkapi kira-kira 50 ciri keselamatan tambahan itu akan dilaksanakan secara berfasa manakala MyKad sedia ada masih sah digunakan untuk urusan harian.
Bermula hari ini, urusan pengeluaran MyKad generasi baharu boleh dibuat di 40 cawangan JPN yang dilengkapi pusat cetakan untuk mencetak MyKad dengan tempoh siap pada hari sama.
Bagi cawangan JPN yang tidak mempunyai kemudahan cetakan, permohonan MyKad generasi baharu masih boleh dibuat dengan tempoh siap lima hari bekerja.
MyKad generasi baharu itu dilengkapi keselamatan merangkumi Hologram Keselamatan Dinamik dan Transparent Window di bahagian hadapan, hinggalah Kod QR Penguatkuasaan serta Cip Antara Muka Dwi Fungsi di bahagian belakang.







