SHAH ALAM, 17 SEPT: Sebuah kedai emas di dalam sebuah pusat beli-belah di Sungai Petani disamun sekumpulan empat lelaki bertopeng malam tadi, dengan kerugian dianggarkan antara RM700,000 hingga RM1 juta.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata kejadian kira-kira 7.20 malam itu berlaku apabila dua suspek masuk ke dalam premis sebelum memecahkan tiga cermin pameran dan melarikan pelbagai barang kemas.
Beliau berkata, dua lagi suspek dipercayai menunggu kira-kira 20 meter dari premis sebelum keempat-empat mereka melarikan diri.
"Pihak polis menerima panggilan daripada orang awam sejurus selepas kejadian.
"Kerugian sebenar masih dalam siasatan dan jumlah antara RM700,000 hingga RM1 juta itu adalah anggaran awal daripada pemilik kedai emas terbabit.
"Kita masih menunggu senarai lengkap barang kemas yang hilang daripada pihak premis untuk menentukan jumlah kerugian sebenar," katanya seperti dilaporkan BH Online.
Hanyan berkata, ketika kejadian terdapat dua pekerja di dalam premis, namun kedua-duanya tidak mengalami kecederaan.
Katanya, orang awam turut cuba membantu selepas kejadian dan beberapa barang kemas yang dipercayai tercicir atau ditinggalkan suspek ditemukan sebelum diserahkan kepada polis.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membahayakan diri ketika cuba membantu menangkap penjenayah, terutama jika suspek dipercayai memiliki senjata.
"Kita tidak tahu sama ada mereka mempunyai senjata yang lebih berbahaya. Jadi, keselamatan orang awam perlu diutamakan.
"Pada masa sama, kita mengalu-alukan maklumat daripada saksi, termasuk ciri fizikal, bentuk badan, percakapan atau sebarang maklumat mencurigakan sebelum kejadian," katanya.
Hanyan berkata, nombor pendaftaran kedua-dua motosikal terbabit masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.
Beliau turut mengesahkan premis berkenaan pernah disamun pada 2024, dengan kerugian ketika itu dipercayai mencecah kira-kira RM1 juta.







