Lelaki dakwa disamun RM30,000, polis siasat kemungkinan laporan palsu

18 Sep 2026, 1:16 PM
Lelaki dakwa disamun RM30,000, polis siasat kemungkinan laporan palsu

SUNGAI PETANI, 18 SEPT: Seorang lelaki berusia 22 tahun mendakwa disamun empat lelaki yang kemudiannya melarikan wang syarikat berjumlah RM30,000 yang dibawanya, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata kejadian dipercayai berlaku pada 4.30 petang semalam, di laluan berhampiran Kompleks Mahkamah Sungai Petani, di sini.

“Mangsa bagaimanapun tampil membuat laporan polis pada 7 pagi tadi di Balai Polis Sungai Petani.

“Semasa kejadian, mangsa mendakwa didatangi sebuah kereta yang dinaiki empat lelaki, sebelum berlaku pergelutan antara mangsa dan suspek yang bersenjatakan pisau lipat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mangsa mendakwa suspek cuba menikamnya namun berjaya merampas pisau berkenaan, sebelum menikam suspek yang menyerangnya.

“Mangsa turut mendakwa rakan suspek memukulnya sehingga jatuh ke tanah, sebelum suspek bertindak melarikan wang syarikat yang disimpan di dalam kereta berserta satu kad bank miliknya.

“Pengadu hanya datang keesokan harinya untuk membuat laporan sebelum perkara ini menjadi tular di media sosial,” katanya.

Hanyan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan serta Seksyen 182 Kanun Keseksaan, kerana memberi maklumat palsu kepada penjawat awam.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan saksi kejadian diminta tampil memberikan maklumat.

“Mangsa yang mendakwa mengalami kecederaan juga akan dihantar ke hospital untuk mendapatkan pemeriksaan perubatan,” katanya.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.