Tiga lelaki samun kedai emas, larikan 81 barang kemas bernilai RM1.747 juta

18 Ogos 2026, 7:17 AM
Tiga lelaki samun kedai emas, larikan 81 barang kemas bernilai RM1.747 juta

SHAH ALAM, 18 OGOS: Tiga lelaki bersenjatakan kapak dan kuku kambing melarikan 81 barang kemas bernilai RM1.747 juta dalam kejadian samun di sebuah kedai emas di SkyAvenue Genting Highlands, semalam.

Kejadian jam 11.39 pagi itu dipercayai hanya mengambil masa dua minit sebelum ketiga-tiga suspek meninggalkan premis bersama barang kemas berkenaan.

Pemangku Ketua Polis Pahang Datuk Azry Akmar Ayob berkata pihaknya menerima laporan kejadian selepas seorang pengawal keselamatan daripada sebuah syarikat sekuriti menghubungi Balai Polis Genting Highlands.

Menurutnya, siasatan awal mendapati tiga suspek lelaki terbabit memakai penutup muka, topi dan jaket ketika memasuki premis dengan membawa senjata.

“Suspek kemudiannya mengumpil dan memecahkan cermin pameran barang kemas sebelum mengambil lima bekas barang kemas yang mengandungi 81 barang kemas pelbagai jenis dan berat keseluruhan 2.5 kilogram bernilai RM1,747,500,” katanya, lapor Kosmo! Online.

Azry Akmar berkata ketiga-tiga suspek kemudian keluar dari premis kira-kira jam 11.41 pagi selepas berjaya melarikan barang kemas tersebut.

Katanya, terdapat dua pekerja masing-masing seorang lelaki dan wanita berada di dalam premis ketika kejadian, manakala seorang lagi pekerja wanita sedang keluar berehat.

“Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian ini,” katanya.

Beliau berkata hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek dipercayai menggunakan sebuah kenderaan mewah jenis BMW.

Menurutnya, kenderaan berkenaan didaftarkan atas nama seorang lelaki di Ampang, Selangor.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.