ad

MPKj, MBSA, MPHS catat prestasi terbaik lantikan politik Selangor 2025

6 Okt 2025, 4:42 AM
MPKj, MBSA, MPHS catat prestasi terbaik lantikan politik Selangor 2025

SHAH ALAM, 6 OKT: Tiga pihak berkuasa tempatan (PBT) meraih peratusan jawatan politik terbaik menerusi keputusan penilaian prestasi lantikan politik Selangor tahun ini.

Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar, Saifuddin Shafi Muhammad menerusi kenyataan media memaklumkan, tiga PBT terbabit ialah Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS).

“Bagi tahun ini, sebanyak 732 lantikan politik dinilai melalui 12 PBT bagi jawatan Ahli Majlis dan 9 Pejabat Daerah dan Tanah (PDT), meliputi jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan & Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Tradisi dan Kampung Baru Ketua Komuniti India (KKI).

“Penilaian ini membuktikan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan lantikan politik berfungsi secara efektif, telus dan profesional demi kesejahteraan rakyat serta berharap ia menjadi kayu ukur bagi lantikan politik baharu pada masa hadapan,” katanya.

Saifuddin berkata, tiga PDT mencatat prestasi terbaik ialah Hulu Selangor, Petaling dan Hulu Langat, dengan hanya dua peratus lantikan politik PDT yang merekodkan prestasi lemah.

Jelasnya, penilaian prestasi menyeluruh terhadap lantikan politik mula dilaksanakan pada Julai lalu bagi mengambil kira keberkesanan penyampaian inisiatif kerajaan, laporan daripada agensi berkaitan serta pandangan awam.

“Pemimpin tempatan yang mewakili parti politik akan diberikan peluang untuk menamakan lantikan politik di kawasan mereka namun keputusan akhir adalah bawah bidang kuasa Dato’ Seri Amirudin Shari,” katanya.