Aktiviti sukan komuniti rapatkan hubungan masyarakat

16 Sep 2026, 9:00 AM
Aktiviti sukan komuniti rapatkan hubungan masyarakat
Aktiviti sukan komuniti rapatkan hubungan masyarakat

SHAH ALAM, 16 SEPT: Aktiviti sukan di peringkat komuniti perlu terus diperkasa bagi menggalakkan gaya hidup sihat serta mengeratkan hubungan dalam kalangan penduduk.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Banting V Papparaidu berkata penganjuran program seumpama itu turut mampu mencungkil bakat, memupuk semangat kesukanan dan menggalakkan kerjasama tanpa mengira latar belakang.

“Program seperti ini turut menjadi wadah untuk memperkukuh silaturahim, membina semangat kerjasama berpasukan dan menyemarakkan semangat perpaduan tanpa mengira latar belakang.

“Semangat Hari Malaysia bukan sekadar dizahirkan melalui sambutan dan kibaran Jalur Gemilang, tetapi juga melalui usaha kita membina masyarakat yang bersatu padu, saling menghormati dan bersama-sama menjayakan aktiviti komuniti,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kejohanan Sepak Penalti Piala YB V Papparaidu di Taman Bakti, Sungai Manggis di sini, hari ini.

Papparaidu berkata kejohanan itu menjadi antara inisiatif mengisi sambutan Hari Malaysia menerusi aktiviti sihat dan bermanfaat, sekali gus merapatkan hubungan dalam kalangan penduduk.

Kejohanan berkenaan dianjurkan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 6, 10, 13 dan 14 dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Persatuan Penduduk Taman Bakti serta Penggerak Belia Selangor (PeBS) Zon 10.

Beliau turut menghargai komitmen penganjur, peserta dan sukarelawan yang berganding bahu memastikan kejohanan berkenaan dapat dilaksanakan.

“Semoga program sebegini terus menjadi platform untuk menggalakkan gaya hidup sihat serta memperkukuh hubungan antara penduduk dan kepimpinan setempat,” katanya.

Kategoriadn

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.