SHAH ALAM, 16 SEPT: Polis mengesahkan tiada unsur jenayah dalam kes kematian remaja perempuan berusia 15 tahun yang dipercayai terjatuh dari sebuah pangsapuri di Presint 5, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata hasil siasatan lanjut setakat ini tidak menemukan sebarang elemen jenayah.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.
Polis sebelum ini menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 10.33 malam.
Mangsa yang tinggal bersama keluarganya di tingkat sembilan pangsapuri berkenaan ditemukan terbaring di kawasan bawah bangunan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan Hospital Putrajaya.
Siasatan awal mendapati remaja itu dipercayai terjatuh dari tempat tinggi.







