Jatuh cinta seragam tentera, anak Cina jejak sejarah tanah air

17 Sep 2026, 1:00 AM
Jatuh cinta seragam tentera, anak Cina jejak sejarah tanah air
Jatuh cinta seragam tentera, anak Cina jejak sejarah tanah air
Jatuh cinta seragam tentera, anak Cina jejak sejarah tanah air
Jatuh cinta seragam tentera, anak Cina jejak sejarah tanah air

Sejak berusia 11 tahun lagi remaja Cina ini gemarkan seragam tentera lama. Uniknya, dia cukup menyukai pakaian askar Melayu. Tidak cukup itu, dia juga memiliki topi besi, lencana, bendera dan timbunan buku sejarah.

Bagi Ian Wong Kin Meng, 20, setiap koleksi yang dimilikinya bukan sekadar artifak lama, sebaliknya ‘jambatan’ menghubungkan generasi hari ini dengan kisah pengorbanan insan yang pernah mempertahankan tanah air daripada penjajah.

Minatnya terhadap sejarah ketenteraan bermula ketika menonton kartun Snoopy yang memaparkan pesawat lagenda Red Baron. Rasa ingin tahu menyebabkan ibunya menghadiahkan replika pesawat perang berkenaan.

"Daripada cerita itulah saya mula jatuh cinta dengan sejarah ketenteraan. Kemudian saya mula membaca buku sejarah. Semakin banyak saya membaca, semakin saya sedar di sebalik setiap peperangan ada kisah pengorbanan manusia yang perlu dikenang," katanya ketika ditemui Media Selangor.

Anak tunggal itu berkata, ketika mencecah usia 18 tahun dan sudah mula memegang wang hasil kerja sambilan, minatnya mula bertukar menjadi hobi pengumpul pakaian dan aksesori ketenteraan.

Dia yang bekerja sebagai pembantu di kedai makan menyimpan wang sedikit demi sedikit selama setahun bagi membeli koleksi pertamanya, seragam celoreng Tentera Darat Malaysia era 1970-an dengan harga RM180 yang dibeli dari pasar karat di Petaling Jaya.

"Masa itu memang rasa mahal, tetapi saya tahu peluang untuk jumpa lagi baju itu agak susah. Saya anggap ia pelaburan untuk ilmu," katanya sambil tersenyum mengenang saat itu.

Antara lama tentera Malaysia milik Ian Wong Kin Meng ketika temu bual di Ibu pejabat Media Selangor pada 30 Julai 2026. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Kini, koleksi anak muda itu pelbagai. Selain pasar karat, ada dibeli secara dalam talian daripada pengumpul luar negara. Sebahagiannya sukar ditemui di pasaran.

Malah dia pernah ke sebuah kilang lama di Kelantan. Di sana tersimpan sampin Rejimen Pertama Askar Melayu era 1930-an. Sampin yang dipakai bersama songkok hijau dan Baju Mufti atau dipanggil ‘walking-out dress’.

Namun bagi anak jati Kajang ini, nilai sebenar koleksi berkenaan bukan terletak pada harga atau keunikannya.

"Ramai fikir saya sekadar kumpul uniform untuk bergambar atau berfesyen. Hakikatnya, setiap kali saya memiliki sesuatu koleksi, saya akan membaca sekurang-kurangnya beberapa buku mengenainya.

"Kita perlu tahu siapa yang memakainya, dalam operasi apa digunakan dan apa sejarah di sebaliknya. Kalau tidak, kita hanya tahu rupa tetapi tidak memahami maknanya," terang remaja berlesung pipit itu.

Dia mengakui sering berdepan salah faham apabila masyarakat melihat uniform lama yang dipakainya.

Menurutnya, ramai yang menyangka semua pakaian berwarna hijau berkaitan tentera Jepun atau komunis. Tambah-tambah lagi apabila melihat warna kulitnya yang mungkin beranggapan tidak mungkin ia pakaian tentera negara.

Hakikatnya pasukan keselamatan negara menggunakan corak dan warna yang hampir sama pada era berbeza.

"Kalau orang nampak warna hijau, terus kata komunis. Sedangkan ada uniform itu dipakai Force 136 atau Pasukan Polis Hutan ketika Darurat. Sebab itu saya rasa penting untuk berkongsi fakta supaya masyarakat tidak terus membuat andaian.”

Ian Wong Kin Meng mengenakan pakaian Force 136 merujuk kepada pakaian seragam tentera yang dipakai oleh anggota unit risikan British, Special Operations Executive (SOE) / Force 136 semasa Perang Dunia Kedua di Tanah Melayu ketika ditemubual di Ibu pejabat Media Selangor pada 30 Julai 2026. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Pertahan negara

Keghairahan terhadap sejarah tempatan turut didorong rasa bangga sebagai rakyat Malaysia.

Walaupun berketurunan Cina, Ian Wong memilih mengumpul koleksi ketenteraan tempatan berbanding negara luar kerana percaya sejarah negara sendiri lebih wajar dihargai.

"Saya memang orang Cina, tetapi saya utamakan identiti saya sebagai rakyat Malaysia. Perasaan cintakan negara itu diterapkan oleh ibu sejak kecil.

"Sebab itu saya lebih suka mengumpul koleksi berkaitan Tentera Darat Malaysia, Rejimen Askar Melayu, Force 136 atau pasukan keselamatan di Tanah Melayu berbanding koleksi negara lain,” ceritanya bangga.

Bakal menyambung pelajaran ke Universiti Malaya dalam bidang Sejarah, Ian Wong sedar sejarah perjuangan negara bukan milik satu kaum semata-mata, sebaliknya dibina rakyat pelbagai latar belakang yang sama-sama mempertahankan tanah air.

Antara koleksi lama tentera Malaysia milik Ian Wong Kin Meng ketika temu bual di Ibu pejabat Media Selangor pada 30 Julai 2026. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Mengimbau pertemuannya dengan veteran tentera berbangsa Cina, Mejar (B) Patrick Wong Seng Nang daripada Rejimen Renjer Diraja yang pernah ditembak ketika operasi menentang pengganas komunis tetapi tetap memimpin anggotanya sehingga bantuan tiba.

"Itu antara kisah yang memberi inspirasi kepada saya. Bila kita membaca dan bertemu sendiri dengan veteran, kita akan sedar pengorbanan mereka sangat besar.

"Mereka tidak bertanya bangsa atau agama ketika mempertahankan negara. Mereka hanya tahu mereka sedang mempertahankan Malaysia," katanya.

Semangat itu turut mendorong Ian Wong aktif bersama Persatuan Reku Ulang Sejarah, pertubuhan yang menghidupkan semula sejarah melalui pameran artifak, pakaian seragam dan demonstrasi kepada orang ramai.

Dia bersama rakan-rakan sering diundang ke sekolah bagi memperkenalkan sejarah perjuangan negara menggunakan koleksi sebenar supaya murid dapat melihat sendiri bukti fizikal yang sebelum ini hanya dipelajari melalui buku teks.

Menurutnya, pendekatan itu lebih berkesan kerana ramai pelajar sukar membayangkan bagaimana rupa sebenar pakaian tentera atau pasukan keselamatan suatu ketika dahulu.

"Ada pelajar yang selepas melihat pameran kami balik bertanya kepada datuk dan nenek mereka. Pernah atau tidak berkhidmat dalam pasukan keselamatan. Bila mereka mula bertanya tentang sejarah keluarga, di situlah benih patriotisme mula tumbuh," katanya.

Ian Wong berharap lebih ramai rakyat di negara ini melihat sejarah sebagai jambatan perpaduan, bukannya sesuatu yang memecahkan masyarakat.

Tambahnya, negara ini menikmati keamanan hasil pengorbanan ramai pasukan keselamatan dan veteran daripada pelbagai kaum yang sanggup mempertaruhkan nyawa demi tanah air.

Ramai orang menganggap Malaysia tidak pernah berperang, hakikatnya negara ini pernah melalui pendudukan Jepun, Darurat, Konfrontasi, ancaman komunis dan pelbagai lagi peristiwa berdarah.

"Hargailah anggota tentera, polis dan semua veteran yang mempertahankan negara kerana keamanan yang kita nikmati hari ini dibina atas jasa mereka. Jangan sia-siakan pengorbanan mereka.

"Tidak kira Melayu, Cina, India, Sabah atau Sarawak, mereka berjuang di bawah Jalur Gemilang yang sama. Itulah semangat Malaysia yang sebenar," katanya.

Kategorirencana

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.