SHAH ALAM, 15 SEPT: Pendidikan kekal menjadi asas penting dalam membangunkan modal insan berkualiti bagi memacu pertumbuhan Selangor dan Malaysia pada masa depan, kata Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Malaysia perlu terus melabur dalam pembangunan rakyat melalui pendidikan memandangkan negara tidak mempunyai sumber semula jadi yang banyak seperti sesetengah negara atau negeri lain.
“Kita tidak mempunyai emas, perak atau minyak dalam jumlah yang banyak. Apa yang kita ada ialah modal insan dan pendidikan adalah kunci untuk membangunkan modal insan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Bicara Perdana sempena Hari Malaysia 2026 di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.
Amirudin berkata Kerajaan Negeri menyokong sektor pendidikan menerusi pelbagai inisiatif termasuk program sekolah, intervensi literasi dan numerasi serta usaha memberi pendedahan kepada pelajar sekolah menengah mengenai bidang teknikal dan profesional.
“Pendidikan penting kerana masa depan Malaysia bergantung kepada kualiti modal insan,” katanya sambil menambah kerajaan juga perlu memahami dan menyesuaikan pendekatan mengikut keperluan generasi muda.
Menurutnya, Kerajaan Negeri turut menyediakan platform seperti Persatuan Mahasiswa Anak Selangor (PERMAS) yang membolehkan pelajar menyuarakan isu secara terus kepada pentadbiran negeri.
“Kerajaan Negeri bersedia membangunkan platform itu menjadi sekretariat atau unit yang lebih formal di bawah portfolio pendidikan dan pengajian tinggi bagi memperkukuh komunikasi antara mahasiswa dengan Kerajaan Negeri,” katanya.
Dalam pada itu, Amirudin berkata aktiviti kesukarelawanan memberi peluang berharga kepada mahasiswa untuk membina kemahiran kepimpinan serta memahami isu masyarakat, termasuk menerusi Team Selangor yang membangunkan rangkaian hampir 20,000 sukarelawan sejak 2014.
Beliau turut memaklumkan sambutan terhadap SUKMA yang baru selesai dianjurkan Selangor menyaksikan 30,000 individu mendaftar sebagai sukarelawan walaupun hanya 10,000 tempat ditawarkan.
Katanya, Kerajaan Negeri juga akan menyokong aktiviti kesukarelawanan diterajui mahasiswa menerusi dana sedia ada bagi kumpulan pelajar.











