KUALA LUMPUR, 4 SEPT: Perubahan iklim berupaya meningkatkan penularan penyakit antara haiwan dan manusia, sekali gus memberi ancaman kepada kesihatan global menerusi kemunculan penyakit berjangkit baharu.
Pensyarah Jabatan Perubatan Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Rozita Hod berkata perubahan habitat dan ekosistem boleh mendorong interaksi lebih kerap antara manusia dengan hidupan liar, seterusnya meningkatkan risiko penyakit zoonotik.
Beliau turut merujuk pandemik Covid-19 sebagai contoh risiko kemunculan penyakit baharu yang mempunyai kaitan kompleks antara manusia, haiwan dan persekitaran.
“Sebenarnya ada kajian-kajian yang menunjukkan perubahan iklim dengan Covid-19. Sebagai contoh, mungkin perumahnya adalah di hutan tetapi sekarang ia sudah datang kepada manusia.
“Pada masa hadapan, ramai saintis meramalkan dunia sekarang seperti bom jangka. Kemungkinan berlaku pelbagai lagi virus baharu yang kita tidak tahu seperti virus Covid-19,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, beliau menyampaikan Syarahan Perdana bertajuk Perubahan Iklim dan Kesan Ke Atas Kesihatan Manusia: Penularan Penyakit Berjangkit dan Tidak Berjangkit di Auditorium Hospital Canselor Tuanku Muhriz di sini, hari ini.
Untuk rekod, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan perubahan iklim boleh mempengaruhi corak penyakit berjangkit melalui perubahan taburan haiwan, vektor pembawa penyakit dan patogen.
Bagi Covid-19 pula, WHO pada 2025 menyatakan bukti tersedia lebih menyokong kemungkinan SARS-CoV-2 memasuki populasi manusia melalui limpahan zoonotik, sama ada secara langsung daripada kelawar atau melalui perumah perantara.
Bagaimanapun, asal-usul virus itu masih belum dapat dipastikan secara muktamad.
Bagi mengurus ancaman kesihatan, Dr Rozita berkata pendekatan One Health menjadi antara kaedah penting kerana menggabungkan kepakaran dalam bidang kesihatan manusia, haiwan dan alam sekitar.
“Sebab itu kita ada pendekatan One Health. Ia sudah lama ditubuhkan oleh pakar di universiti-universiti untuk membendung penyakit dari haiwan kepada manusia.
“Di Kementerian Kesihatan juga ada unit One Health yang bekerja rapat dengan jabatan vaterinar dan ada data perkongsian bersama. Contohnya seperti penyakit rabies dan sebagainya,” katanya.

Menurut beliau, vaksinasi haiwan peliharaan juga penting sebagai langkah pencegahan bagi mengurangkan risiko penyakit tertentu yang boleh menjangkiti manusia.
Di Malaysia, usaha membangunkan kepakaran dalam bidang itu turut diperkukuh menerusi Malaysia One Health University Network (MyOHUN) yang dimulakan pada 2012 sebagai sebahagian daripada Southeast Asia One Health University Network (SEAOHUN).
MyOHUN kini melibatkan lebih 17 universiti termasuk UKM dan empat agensi kerajaan dengan memberi tumpuan kepada latihan, penyelidikan serta pembangunan kapasiti berkaitan penyakit berjangkit dan zoonotik.
Pada peringkat dasar pula, KKM menerajui penyelarasan penubuhan Jawatankuasa One Health Kebangsaan sejak 2024 bagi memperkukuh tindakan merentas sektor.









