Setiap PBT Selangor dikehendaki sedia pelan tindakan perubahan iklim

13 Ogos 2026, 4:28 AM
Setiap PBT Selangor dikehendaki sedia pelan tindakan perubahan iklim
Setiap PBT Selangor dikehendaki sedia pelan tindakan perubahan iklim

SHAH ALAM, 13 OGOS: Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor dikehendaki menyediakan pelan tindakan perubahan iklim masing-masing bagi mengenal pasti risiko serta menentukan langkah mitigasi dan adaptasi yang bersesuaian.

EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin berkata ketetapan itu digariskan menerusi teras strategik ke-10 Dasar Perubahan Iklim Selangor yang dilancarkan pada 25 November 2024.

“Setiap PBT akan mempunyai pelan tindakan perubahan iklim masing-masing.

“Ini akan membolehkan setiap PBT mengenal pasti profil risiko di kawasan masing-masing serta langkah mitigasi dan adaptasi yang bersesuaian,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Menurut Jamaliah, kos penyediaan pelan tindakan berkenaan akan ditanggung oleh setiap PBT.

EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin berucap pada persidangan Dewan Negeri Selangor di Bangunan Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 11 Ogos 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR

Beliau berkata Kerajaan Negeri turut menyediakan strategi pengurusan bencana yang mengambil kira cuaca ekstrem dan risiko berkaitan iklim, selain memperkukuh sistem pemantauan serta amaran awal bagi mengurangkan kesan terhadap penduduk dan harta benda.

Jamaliah menjelaskan Pusat Adaptasi Perubahan Iklim Selangor (SCAC) sedang menjalankan penilaian kerentanan, risiko dan adaptasi iklim yang akan menjadi asas kepada kerangka adaptasi iklim Selangor.

Kerangka berkenaan akan diperkenalkan sebagai petunjuk prestasi utama (KPI) di bawah Rancangan Selangor Kedua (RS-2).

“Berdasarkan hasil kajian itu, Kerajaan Negeri akan membangunkan pelan perubahan iklim Selangor yang menggariskan intervensi menyeluruh dan langkah adaptasi bagi meningkatkan daya tahan negeri serta memastikan Selangor lebih bersedia menghadapi risiko dan kesan perubahan iklim pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata pelaksanaan Dasar Perubahan Iklim Selangor akan melibatkan lebih 60 entiti termasuk agensi Persekutuan dan negeri, PBT, pejabat daerah dan tanah, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pemain industri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta komuniti.

Menurutnya, Jawatankuasa Iklim Selangor yang dipengerusikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari akan memantau KPI, dasar dan strategi berkaitan perubahan iklim menerusi SCAC dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).

Jamaliah berkata usaha adaptasi iklim tidak dibiayai menerusi satu sumber khusus, sebaliknya agensi berkaitan akan menggunakan peruntukan masing-masing berdasarkan bidang tanggungjawab.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.