SHAH ALAM, 15 SEPT: Pelitup muka akan diagihkan secara percuma kepada pelajar sekolah susulan situasi jerebu yang dijangka berlarutan sehingga Oktober depan, bergantung kepada fasa peralihan monsun.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihaknya kini sedang mengurus pembelian pelitup muka terbabit bagi memastikan keselamatan anak-anak ketika belajar.
“Kita akan lihat berapa cepat proses pembelian pelitup muka ini. Saya juga rasa sudah sampai masa untuk kita hentikan pelajar dengan aktiviti luar demi kesihatan mereka.
“Dalam masa terdekat saya akan panggil pihak tertentu termasuk Jabatan Meteorologi Malaysia untuk berbincang. Semalam, dua hari lepas keadaan jerebu agak baik sebab selepas hujan. Jadi kita tengok sehari dua ini,” katanya.
Beliau ditemui selepas menghadiri Program Bicara Perdana sempena sambutan Hari Malaysia 2026 di sini hari ini.

Setakat 3 petang tadi, enam kawasan di Selangor mencatat bacaan IPU pada paras tidak sihat dengan Johan Setia merekodkan bacaan tertinggi 187.
Menurut portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS), lima lagi kawasan ialah Shah Alam dengan bacaan IPU 173, Klang (166), Petaling Jaya (165), Banting (163) dan Kuala Selangor (162).
Awal bulan ini, EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin berkata pentadbiran bersedia menyalurkan bekalan pelitup muka ke kawasan yang merekodkan bacaan IPU tertinggi sebagai langkah perlindungan tambahan susulan jerebu.
Katanya bekalan itu akan diserahkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) untuk diedarkan kepada penjawat awam dan orang ramai, khususnya golongan yang memerlukan.











