SHAH ALAM, 15 SEPT: Sebanyak sembilan kompaun dikeluarkan serta-merta dalam Operasi Kutu Sampah bagi membanteras kegiatan membuang sampah di tempat awam sekitar Jalan Pos Baru, Klang baru-baru ini.
Operasi Jabatan Perkhidmatan Persekitaran Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) itu mendapati antara sisa dibuang termasuk puntung rokok, kertas, plastik dan sisa makanan.
“Kesemua pesalah dikenakan tindakan di bawah Undang-Undang Kecil 4, Peraturan-Peraturan Pembuangan Sampah (MPK) 2007 kerana membuang sisa kecil di tempat awam,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
MBDK mengingatkan orang ramai supaya tidak membuang sampah sesuka hati, sebaliknya menggunakan tong sampah yang disediakan bagi memastikan kebersihan kawasan awam terpelihara.
Menurutnya, kerjasama masyarakat penting bagi memastikan Bandaraya Klang kekal bersih, selesa dan kondusif untuk didiami.







