PBT perlu garis panduan jelas naik taraf kemudahan warga emas

15 Sep 2026, 2:00 AM
PBT perlu garis panduan jelas naik taraf kemudahan warga emas
PBT perlu garis panduan jelas naik taraf kemudahan warga emas

SHAH ALAM, 15 SEPT: Kerajaan Negeri disaran menyediakan garis panduan khusus kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya setiap projek menaik taraf kemudahan awam mengambil kira elemen mesra warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Lanjan, Pua Pei Ling berkata langkah itu penting bagi memastikan Dasar Ekonomi Penjagaan Selangor tidak sekadar kekal sebagai polisi di atas kertas, sebaliknya benar-benar diterjemahkan kepada tindakan di peringkat akar umbi.

"Inisiatif itu boleh dilaksanakan menerusi penyediaan kemudahan seperti 'panic button', peralatan senaman luar yang sesuai untuk warga emas serta ciri-ciri kemudahan awam yang lebih inklusif.

"Saya nampak setakat polisi yang bagus memang tidak cukup. Kita perlu satu tindakan yang boleh terus diimplementasikan kepada penduduk.

"Walaupun polisi itu sempurna, tetapi kalau setakat di atas kertas sahaja dan tidak dilaksanakan di peringkat akar umbi, penduduk tidak akan merasainya," katanya.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Lanjan, Pua Pei Ling ketika ditemu bual dalam program SKOP Belanjawan Selangor 2027 terbitan Media Selangor, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual dalam program SKOP Belanjawan Selangor 2027 terbitan Media Selangor, baru-baru ini.

Untuk rekod, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) tampil sebagai perintis pihak berkuasa tempatan pertama yang memperkenalkan Pelan Tindakan Ekonomi Penjagaan Petaling Jaya 2025-2030 sebagai usaha menjadikan bandar itu lebih mesra warga emas dan kanak-kanak.

Inisiatif berkenaan dirangka dengan mengambil kira perubahan demografi apabila kira-kira 12 peratus daripada lebih 800,000 penduduk Petaling Jaya terdiri daripada golongan warga emas.

Pelajar sekolah dan warga emas menggunakan perkhidmatan bas percuma Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sekitar Petaling Jaya pada 30 Mac 2026. Foto ADIBAH IZAM/MEDIA SELANGOR

Pei Ling berkata Selangor boleh berbangga sebagai negeri pertama memperkenalkan dasar berkenaan, namun manfaatnya perlu diterjemahkan melalui tindakan yang lebih menyeluruh, terutama kepada golongan sasaran.

Pada November 2024, Selangor menjadi negeri pertama melancarkan Dasar Ekonomi Penjagaan Selangor 2024–2030 sebagai persediaan menghadapi status negeri menua apabila 8.1 peratus penduduknya berusia 65 tahun ke atas.

Dasar yang diumumkan Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari itu memberi tumpuan kepada lima teras utama iaitu advokasi dan promosi, tadbir urus dan kawal selia, penjaga terlatih dan tenaga kerja, pelaburan dan kerjasama serta inovasi, teknologi dan data.

Dasar berkenaan bertujuan membangunkan ekosistem penjagaan yang lebih inklusif, mampan dan berdaya tahan, meliputi keperluan kanak-kanak, warga emas, orang kurang upaya (OKU) serta golongan yang memerlukan penjagaan.

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.