SHAH ALAM, 20 JUN: Peruntukan RM20 juta bagi pelaksanaan Program Sijil Kemahiran Malaysia disifatkan sebagai langkah tepat untuk membantu golongan berpendapatan rendah (B40) meningkatkan kemahiran serta memperkukuh peluang pekerjaan dalam pasaran tenaga kerja yang semakin mencabar.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Lanjan, Pua Pei Ling berkata inisiatif itu amat penting memandangkan kos pendidikan dan latihan teknikal sering menjadi halangan kepada pelajar serta golongan muda daripada keluarga B40 untuk meningkatkan kemahiran mereka.
Beliau berkata peruntukan tersebut juga bertepatan dengan kebimbangan berhubung peningkatan pemberhentian pekerja yang direkodkan di Selangor sejak kebelakangan ini.

“Dalam ucapan saya semasa Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) lalu, saya telah membangkitkan kebimbangan mengenai kadar pemberhentian kerja yang membimbangkan, Selangor menyumbang 29.3 peratus daripada jumlah keseluruhan pemberhentian kerja pada Mac lalu.
“Saya amat menyambut baik peruntukan RM20 juta untuk Program Sijil Kemahiran Malaysia ini sebagai satu inisiatif baharu di bawah Fasa 2 Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor,” katanya ketika membahaskan pakej tersebut pada Sidang Khas DNS di sini, semalam.
Pada masa sama, Pei Ling mencadangkan supaya pelaksanaan program berkenaan mengambil inspirasi daripada model SkillsFuture di Singapura bagi memastikan manfaat latihan kemahiran dapat dinikmati secara berterusan dan bukan sekadar bantuan sekali sahaja.
Katanya, model itu terbukti berjaya meningkatkan kadar penyertaan latihan tenaga kerja di Singapura daripada 35 peratus pada 2015 kepada 50 peratus pada 2021.
“Antara elemen yang boleh diadaptasi ialah konsep kredit latihan individu yang berkekalan dan boleh digunakan sepanjang kerjaya seseorang, bukan hanya sekali sahaja, serta elaun latihan bagi pekerja yang perlu mengambil cuti tanpa gaji untuk menjalani latihan sepenuh masa,” katanya.
Terdahulu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan RM20 juta menerusi inisiatif Teraju IKTISASS yang bertujuan memperkukuh pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) serta meningkatkan jumlah tenaga kerja profesional dalam industri strategik di Selangor.
Menurut beliau, antara komponen utama program itu ialah penawaran kursus pensijilan kecerdasan buatan (AI) di bawah Google kepada 500 guru di Selangor bagi meningkatkan keupayaan mereka memanfaatkan teknologi berkenaan dalam bidang pendidikan.
“Selain itu, sebanyak 500 peserta akan ditawarkan pensijilan profesional industri, manakala 1,000 individu lagi akan menerima Pensijilan Kemahiran Malaysia,” katanya ketika membentangkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2.










