Belanjawan Selangor 2027: ADN mahu SRA Damansara Damai dibina segera

14 Sep 2026, 4:00 AM
Belanjawan Selangor 2027: ADN mahu SRA Damansara Damai dibina segera
Belanjawan Selangor 2027: ADN mahu SRA Damansara Damai dibina segera

SHAH ALAM, 14 SEPT: Keperluan membina Sekolah Rendah Agama (SRA) di Damansara Damai wajar diberi perhatian dalam Belanjawan Selangor 2027 berikutan ketiadaan kemudahan berkenaan di kawasan itu.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Lanjan, Pua Pei Ling berkata isu pembinaan sekolah terbabit konsisten dibangkitkan dalam setiap sesi perbahasan Dewan Negeri Selangor (DNS) sejak 2023 kerana ia antara keperluan paling mendesak penduduk.

Menurutnya, permohonan projek berkenaan telah dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), namun beliau berharap pelaksanaannya dapat dipercepat supaya kerja pembinaan boleh dimulakan seawal tahun hadapan.

"Kalau boleh Belanjawan Selangor 2027 terus meluluskan projek ini supaya tahun depan kita boleh mula kerja di tapak kerana pembinaan sebuah sekolah mengambil masa sekurang-kurangnya dua tahun," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual dalam program SKOP Belanjawan Selangor 2027 terbitan Media Selangor, baru-baru ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Lanjan, Pua Pei Ling ketika ditemu bual dalam program SKOP Belanjawan Selangor 2027 terbitan Media Selangor, baru-baru ini.

Pei Ling berkata Damansara Damai sehingga kini masih belum mempunyai SRA, manakala kemudahan pendidikan agama yang beroperasi di bawah masjid atau institusi swasta pula tidak mampu menampung pertambahan jumlah pelajar.

"Tidak ada langsung sekolah rendah agama di kawasan Damansara Damai. Yang ada cuma di bawah masjid ataupun swasta, tetapi memang tidak dapat menampung kapasiti pelajar. Keperluannya memang sangat mendesak," katanya.

Menurut beliau, penyediaan kemudahan pendidikan tidak seharusnya dilihat berdasarkan kaum atau latar belakang penduduk, sebaliknya perlu diberi keutamaan demi masa depan generasi akan datang.

"Pendidikan adalah keutamaan untuk masa depan anak-anak kita semua. Tidak kira bangsa atau kaum, selagi masyarakat memerlukan platform pendidikan, kita perlu menyediakannya.

"Sebagai wakil rakyat, saya mempunyai tanggungjawab membawa suara penduduk ke Dewan Negeri supaya impian mereka untuk memiliki sebuah SRA di Damansara Damai dapat direalisasikan," katanya.

Kategoriadn

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.