PETALING JAYA, 8 APR: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) tampil sebagai perintis pihak berkuasa tempatan pertama yang memperkenalkan Pelan Tindakan Ekonomi Penjagaan Petaling Jaya 2025-2030 sebagai usaha menjadikan bandar itu lebih mesra warga emas dan kanak-kanak.
Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohamad Zahri Samingon berkata inisiatif berkenaan dirangka dengan mengambil kira perubahan demografi apabila kira-kira 12 peratus daripada lebih 800,000 penduduk Petaling Jaya terdiri daripada golongan warga emas.
“Pelan ini merangkumi pelaksanaan sistem penarafan pusat jagaan berdasarkan standard ditetapkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), melibatkan 167 pusat jagaan kanak-kanak dan warga emas bermula pertengahan 2026.
“Kerjasama bersama JKM akan memastikan premis yang mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dapat dinilai serta melayakkan mereka memperoleh lesen daripada MBPJ sekali gus membantu menangani isu pengoperasian pusat jagaan tanpa lesen di Petaling Jaya,” katanya dalam temubual eksklusif bersama Media Selangor.

Selain itu, Mohamad Zahri memaklumkan MBPJ turut merancang pembangunan program sehenti yang menggabungkan kemudahan taska, pusat jagaan kanak-kanak dan warga emas bagi memenuhi keperluan komuniti setempat secara lebih menyeluruh.
Dalam memastikan pelaksanaan berjalan lancar, katanya, mesyuarat penyelarasan akan diadakan setiap tiga bulan melibatkan pelbagai agensi berkaitan bagi mendapatkan perkembangan terkini serta menambah baik pelaksanaan dasar.
“Sekitar 70 peratus tindakan berada di bawah bidang kuasa MBPJ manakala selebihnya memerlukan kerjasama agensi kerajaan lain. Kejayaan pelan ini bergantung kepada komitmen semua pihak.
“Bagaimanapun, antara cabaran utama adalah pertukaran pegawai dalam agensi kerajaan yang memerlukan penjelasan semula mengenai pelaksanaan pelan selain perbezaan tahap kefahaman dalam kalangan pegawai pada peringkat awal,” tambahnya.

Pada masa sama, Mohamad Zahri berkata MBPJ turut berkongsi pengalaman pelaksanaan pelan berkenaan di peringkat antarabangsa apabila dijemput sebagai panel sempena 13th Asia Pacific Forum on Sustainable Development (APFSD) Side Event.
Untuk rekod, Pelan Tindakan Ekonomi Penjagaan Petaling Jaya 2025-2030 dilancarkan pada 9 Oktober 2025 yang disempurnakan oleh EXCO Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari bagi memperkukuh kesejahteraan sosial dan ekonomi komuniti bandar melalui pembangunan ekosistem penjagaan yang inklusif.
Pelan tersebut turut menekankan empat tunjang utama pelaksanaan iaitu penambahbaikan garis panduan operasi pusat jagaan, program latihan dan pensijilan penjaga profesional, pemberian insentif kepada institusi penjagaan berkualiti tinggi serta galakan pelaburan dan inovasi dalam perkhidmatan penjagaan sosial.









