SHAH ALAM, 17 SEPT: Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) menutup 10 laluan masuk yang dipercayai digunakan lori dan jentera berat untuk membuang sampah secara haram di sekitar Ijok.
Tindakan susulan itu dilaksanakan selepas tanah kerajaan dan persendirian di Kampung Seri Sentosa serta Kampung Harmoni sebelum ini dikesan diceroboh dan dijadikan lokasi pelupusan sampah haram.
MPKS menerusi Facebook memaklumkan operasi oleh Jabatan Kesihatan dan Persekitaran dijalankan semalam di tiga lokasi iaitu berhampiran Rentak Perdana, Kampung Seri Sentosa dan Kampung Harmoni.
“Kerja mengorek dan menutup keseluruhan 10 laluan masuk yang dikenal pasti berpotensi digunakan oleh lori dan jentera berat untuk aktiviti pembuangan sampah secara haram telah dilaksanakan,” menurut kenyataan itu.
Daripada jumlah berkenaan, satu laluan ditutup berhampiran Rentak Perdana, lapan di Kampung Seri Sentosa dan satu laluan utama di Kampung Harmoni.
MPKS turut memasang pita larangan membuang sampah di lokasi terbabit sebagai langkah pencegahan.
Menurut majlis itu, pasukan penguat kuasa turut berdepan gangguan daripada pengendali tapak ketika meninggalkan kawasan Kampung Harmoni.
Bagaimanapun, keadaan berjaya dikawal dan operasi diteruskan mengikut prosedur dengan mengambil kira keselamatan petugas.
MPKS memaklumkan tindakan penguatkuasaan dan pemantauan akan terus dipertingkat di lokasi berisiko bagi membendung kegiatan pembuangan sampah haram.
Sebelum ini, KDEB Waste Management (KDEBWM) memaklumkan hasil lawatan tapak mendapati tanah kerajaan dan persendirian di Kampung Seri Sentosa serta Kampung Harmoni diceroboh untuk dijadikan lokasi pelupusan sampah haram.
Sisa yang ditemukan di kawasan berkenaan merangkumi sampah domestik, sisa pukal dan sisa binaan.











