Misi Everest Base Camp medan persiapan Syahrulnizam tawan Everest 2028

14 Sep 2026, 1:00 PM
Misi Everest Base Camp medan persiapan Syahrulnizam tawan Everest 2028
Misi Everest Base Camp medan persiapan Syahrulnizam tawan Everest 2028
Misi Everest Base Camp medan persiapan Syahrulnizam tawan Everest 2028

SHAH ALAM, 14 SEPT: Misi ke Everest Base Camp (EBC), Nepal menjadi antara persiapan penting buat pendaki muda Mohd Syahrulnizam Mohd Noor dalam usahanya menawan puncak Gunung Everest pada 2028.

Ketua Ekspedisi Cabaran EBC 2026, Tan Sri Johan Jaaffar berkata Syahrulnizam, 22, mempunyai potensi besar untuk mencapai sasaran itu berdasarkan pengalaman serta pencapaiannya dalam bidang pendakian sejak kecil.

“Kita merasakan beliau ini adalah ‘Everest material’, seorang yang berpotensi dan kita merancang untuk meletakkan Syahrul Nizam di puncak gunung tertinggi di dunia iaitu Gunung Everest pada 2028.

“Kita mengharapkan dalam usia 24 tahun beliau akan mencipta rekod yang istimewa itu,” katanya ketika ditemui selepas menerima Sumbangan Khas daripada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bagi menjayakan Cabaran EBC 2026 di kediaman rasmi di sini, hari ini.

Menurut Johan, program itu bukan sekadar misi pendakian, malah menjadi platform melatih pendaki muda serta menggalakkan generasi baharu menceburi aktiviti luar dan sukan ekstrem.

Ketua Ekspedisi Cabaran EBC 2026, Tan Sri Johan Jaaffar bercakap kepada Media Selangor selepas majlis penyerahan Sumbangan Khas Kewangan di Kediaman Dato' Menteri Besar, Shah Alam pada 14 September 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Katanya, Syahrulnizam memiliki pengalaman luas meskipun masih muda termasuk menjejak puncak Gunung Kinabalu pada usia empat tahun dan mengulanginya ketika berusia enam tahun, selain melakukan pendakian di Malaysia, Indonesia dan Nepal.

“Salah satu matlamat penting program ini adalah untuk melatih beberapa pendaki muda khususnya Syahrulnizam yang mempunyai potensi cukup besar.

“Ini adalah salah satu usaha kita untuk memotivasikan anak muda supaya terbabit dalam kegiatan luar khususnya sukan ekstrem,” katanya.

Johan berkata perjalanan dari Lukla ke EBC mengambil masa antara 10 hingga 12 hari dengan peserta perlu berjalan sekitar lima hingga tujuh jam sehari.

Selain memerlukan stamina dan kekuatan mental, katanya, peserta juga perlu menyesuaikan diri dengan faktor ketinggian bagi mengurangkan risiko penyakit altitud sepanjang perjalanan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bersama Tan Sri Johan Jaaffar (kanan) dan pendaki muda Muhammad Syahrulnizam Mohd Noor pada Majlis Penyerahan Sumbangan Khas di kediaman rasmi di Shah Alam, 14 September 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

“EBC adalah laluan yang sukar, bukan mudah bagi orang muda apatah lagi bagi mereka yang berusia.

“Kita memerlukan sekitar 10 hingga 12 hari dari Lukla dengan perjalanan lima hingga tujuh jam sehari. Stamina dan kekuatan mental antara cabaran yang perlu dihadapi,” ujarnya.

Johan turut menzahirkan penghargaan kepada Dato’ Menteri Besar dan Kerajaan Negeri atas sokongan terhadap program berkenaan, khususnya dalam usaha membangunkan potensi pendaki muda.

“Saya ingin mengucapkan banyak terima kasih kepada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Kerajaan Negeri yang membantu program Cabaran EBC 2026.

“Ini antara usaha untuk menggalakkan golongan muda, generasi muda mencuba ‘trekking’ dan juga ‘climbing’,” katanya.

Pendaki gunung Muhammad Syahrulnizam Mohd Noor akan memulakan misi pendakian ke Everest Base Camp, Nepal pada 16 September 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Sementara itu, Syahrulnizam berkata misi kali ini merupakan ekspedisi keenamnya ke Nepal dan kali ketiga bersama Johan, dengan latihan lebih sebulan dilakukan sebagai persediaan.

Pelajar Diploma Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam itu berkata sumbangan Kerajaan Negeri turut membantu menampung tiket penerbangan, kelengkapan pakaian serta perbelanjaan sepanjang berada di Nepal.

“Ini kali pertama saya menerima bantuan dan ia sangat membantu untuk ekspedisi kali ini.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Dato’ Menteri Besar atas bantuan kewangan yang diberikan. Kami sangat bersyukur,” katanya.

Pasukan seramai 11 peserta itu dijadual bertolak ke Nepal pada 16 September, manakala dua daripadanya sudah berada di sana sebagai kumpulan pendahulu.

Terdahulu, Amirudin menyerahkan Sumbangan Khas berjumlah RM38,000 kepada Johan bagi menyokong pelaksanaan misi tersebut.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.