SHAH ALAM, 1 NOV: Tokoh Wartawan Negara mendesak Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming memohon maaf kepada seorang wartawan dan komuniti media susulan tindakannya dalam satu sidang media baru-baru ini.
Tan Sri Johan Jaaffar menyifatkan tindakan itu sebagai angkuh dan tidak mencerminkan sikap terbuka terhadap pengamal media.
“Saya kesal cara Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mempersoalkan pertanyaan seorang wartawan sewaktu mengumumkan projek pencahayaan bandar ‘I Lite U.’
“Saya mendesak beliau meminta maaf pada wartawan berkenaan dan komuniti wartawan seluruhnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan wartawan berhak bertanya sebarang soalan, manakala menteri sepatutnya memberi jawapan secara profesional dan berhemah.
“Cara beliau memberi reaksi kepada soalan mudah dan tanpa provokasi itu amat dikesali. Beliau juga tidak seharusnya mengugut akan menghubungi ketua pengarang wartawan berkenaan,” katanya.
Tambah Johan, tindakan itu hanya memburukkan hubungan kerajaan dengan media dan bertentangan dengan prinsip keterbukaan yang ditekankan Perdana Menteri.
“Tindakan seperti ini menambah lagi masalah komunikasi yang semakin lemah di antara kerajaan dan media. Wartawan sepatutnya dihargai dan dihormati profesion mereka dan bukan dipersoal dan diugut,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut membidas penggunaan bahasa Inggeris bagi kempen nasional seperti ‘I Lite U’.
“Sebagai mantan Pengerusi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), saya tidak dapat menerima kewajaran ungkapan bahasa Inggeris digunakan untuk sebarang kempen peringkat nasional.
"Sekadar menceriakan wajah kota kita sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 tidak memerlukan ungkapan ‘I Lite U’,” katanya.
Projek 'I Lite U' bawah kendalian Kor Ming itu merupakan inisiatif pencahayaan hiasan bandar yang dirangka bagi memperkukuh identiti malam Kuala Lumpur sebagai Bandaraya Pelancongan Bertaraf Antarabangsa melalui konsep pencahayaan moden, harmoni dan beridentiti tempatan.


