SHAH ALAM, 14 SEPT: Kerajaan Negeri menyalurkan sumbangan khas berjumlah RM38,000 bagi membantu pendaki muda Muhammad Syahrulnizam Mohd Noor bersama pasukannya menjayakan misi ke Everest Base Camp (EBC), Nepal.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan itu sebagai tanda sokongan dan motivasi kepada Syahrulnizam serta pasukannya dalam menyahut cabaran pendakian berkenaan.
"Sumbangan ini akan membantu sekitar empat hingga lima orang daripada keseluruhan 11 anggota pasukan.
"Ia sedikit sebanyak akan melegakan kos mereka yang agak tinggi terutama membabitkan urusan permit dan perbelanjaan sepanjang pendakian," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan sumbangan tersebut kepada Ketua Ekspedisi Cabaran EBC 2026, Tan Sri Johan Jaaffar di kediaman rasmi di sini, hari ini.
Misi ke EBC itu turut menjadi sebahagian persediaan Syahrulnizam, 22, dalam usaha merealisasikan sasaran menawan puncak Gunung Everest pada 2028 ketika berusia 24 tahun.
Amirudin berharap misi berkenaan dapat memberi inspirasi kepada rakyat Selangor, khususnya golongan muda, supaya berani menyahut cabaran dan menguji kemampuan diri.
"Ini sebagai tanda motivasi dan sokongan, selain menjadi contoh kepada anak muda di Malaysia bahawa mereka boleh menyahut cabaran.
"Saya percaya ia akan menjadi motivasi kepada rakyat Selangor khususnya anak muda untuk menyahut cabaran yang getir," katanya.

Menurut beliau, perjalanan ke EBC bukan cabaran biasa kerana peserta perlu berdepan perbezaan cuaca, faktor ketinggian serta pelbagai risiko sepanjang pendakian.
"Cabaran itu bukannya biasa kerana perbezaan cuaca, ketinggian, cabaran, dan juga risiko yang bakal dihadapi oleh beliau dan pasukannya," ujarnya.
Pasukan seramai 11 anggota itu dijadual memulakan perjalanan ke EBC pada 16 September ini, iaitu Hari Malaysia.
"Mereka akan mula bergerak pada 16 September, Hari Malaysia. Insya-Allah kita akan cuba selesaikan (bantuan) dalam masa terdekat," katanya.








