Kumpulan Puisi Bendahara Hati singkap sisi Allahyarham Jamil Sulong sebagai penyair

23 Okt 2026, 6:22 AM
Kumpulan Puisi Bendahara Hati singkap sisi Allahyarham Jamil Sulong sebagai penyair
Kumpulan Puisi Bendahara Hati singkap sisi Allahyarham Jamil Sulong sebagai penyair
Kumpulan Puisi Bendahara Hati singkap sisi Allahyarham Jamil Sulong sebagai penyair
Kumpulan Puisi Bendahara Hati singkap sisi Allahyarham Jamil Sulong sebagai penyair

KUALA LUMPUR, 23 OKT: Buku Kumpulan Puisi Bendahara Hati karya Allahyarham Datuk Jamil Sulong disifatkan sebagai penemuan penting dunia kesusasteraan negara yang menyingkap sisi berbeza tokoh seni tanah air itu sebagai seorang penyair.

Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar berkata Allahyarham Jamil bukan sahaja terkenal sebagai pengarah filem dan penulis lagu, malah mempunyai hubungan rapat dengan dunia kesusasteraan menerusi penglibatannya dalam Angkatan Sasterawan 50 (ASAS 50).

“Koleksi sajak Bendahara Hati karya Datuk Jamil merupakan satu penemuan sastera yang bagi saya agak penting. Beliau adalah seorang seniman yang agak unik, beliau bukan sahaja terkenal sebagai pengarah filem, penulis lagu, tetapi juga beliau amat meminati dunia sastera.

“Beliau adalah salah seorang yang ada ketika malam penubuhan ASAS 50. Ini adalah kombinasi yang agak unik kepada saya, dunia perfileman dengan dunia kesusasteraan,” katanya kepada pemberita.

Tokoh Wartawan Negara yang juga mantan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP Tan Sri Johan Jaaffar bercakap kepada media selepas Majlis "Pelancaran Buku Kumpulan Puisi : Bendahara Hati" dan "Suara Dari Anjung: Dewan Budaya" di Wisma Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur pada 23 Oktober 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Beliau ditemui selepas menyempurnakan pelancaran Buku Kumpulan Puisi Bendahara Hati bersama Datuk Rosnani Jamil di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Johan berkata, beliau dihubungi Rosnani yang menemui ratusan karya puisi milik Jamil yang ditulis dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, yang disimpan rapi dalam fail peribadi Allahyarham.

Menurutnya, pihak DBP kemudiannya memilih untuk menerbitkan naskhah kumpulan sajak Allahyarham Jamil dalam Bahasa Melayu, dengan kebanyakan puisi berkisar tentang kehidupan, keluarga dan perasaannya terhadap keadaan semasa.

“Saya tidak menganggap ini sebagai bakat terpendam, beliau adalah seorang penyair. Tetapi beliau hanya menulis sajak hanya untuk menyampaikan perasaannya.

“Ini melihatkan sikapnya yang rendah hati, jujur, malah tidak mendakwa sajaknya lebih baik berbanding orang lain,” katanya yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat Editorial Media Selangor.

Buku Kumpulan Puisi Bendahara Hati memiliki 89 muka surat, mengandungi 79 puisi, 19 puisi mini serta 35 koleksi pantun. Naskhah berkenaan dijual pada harga RM30 dan boleh didapati di laman sesawang rasmi DBP atau kedai Jendela DBP.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.