SHAH ALAM, 14 SEPT: Bekas pengarah syarikat jual beli kenderaan terpakai didakwa di tiga Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas 71 pertuduhan menipu dalam urusan pembelian pelbagai jenis kenderaan membabitkan nilai RM4.7 juta.
Antara kenderaan terbabit ialah Mercedes-Benz C200, E200, E250 dan A180, BMW X5, 528i, 328i dan 320d, Lexus RX 200 dan IS 250, Land Rover Evoque, Mini Cooper, Toyota Alphard serta Toyota Vellfire, lapor Berita Harian.
Tertuduh, Kee Cher Kian, 34, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan tiga hakim.
Di hadapan Hakim Azrul Darus, Cher Kian didakwa atas 26 pertuduhan menipu seorang ahli perniagaan, Wong Yoong Jed, dengan mendorong mangsa mempercayai bahawa terdapat urusan pembelian pelbagai jenis kenderaan.
Perbuatan itu didakwa menyebabkan Yoong Jed menyerahkan wang berjumlah RM1.693 juta daripada akaun bank Lio Capital dan Viso Capital ke akaun bank syarikat Buycar2u dikendali tertuduh.
Di hadapan Hakim Norma Ismail pula, tertuduh berdepan 30 pertuduhan serupa membabitkan mangsa sama dengan jumlah RM1.981 juta.
Sementara itu, di hadapan Hakim Muhammad Ilmami Ahmad, Cher Kian didakwa atas 15 pertuduhan serupa terhadap mangsa sama membabitkan jumlah RM1.027 juta.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di beberapa cawangan bank di Kuala Lumpur antara 5 Julai hingga 3 Ogos 2022.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan-timbalan Pendakwa Raya Siti Suriatey Mohamed Yusoff dan Eugenie Meredith Gilbert, manakala tertuduh diwakili peguam J Matthews.
Azrul kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM180,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Bagi dua pertuduhan di hadapan Norma dan Ilmami, tertuduh masing-masing dikenakan jaminan RM10,000 dan RM25,000 dengan seorang penjamin.
Jumlah keseluruhan jaminan yang dikenakan terhadap tertuduh adalah RM215,000.
Mahkamah menetapkan 16 Oktober ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.






