PELABUHAN KLANG, 12 SEPT: Sektor perkhidmatan dan pembuatan menjadi penyumbang tertinggi kepada nilai pelaburan di Selangor bagi separuh pertama tahun ini, kata Exco Pelaburan Ng Sze Han.
Beliau berkata kedua-dua sektor utama itu dikenal pasti sebagai penyumbang terbesar berdasarkan jumlah pelaburan RM70 bilion yang direkodkan setakat Jun lepas.
“Separuh atau sebahagian besar daripada nilai pelaburan yang telah diluluskan kerajaan negeri disumbang oleh sektor perkhidmatan dan pembuatan.
“Kita yakin mampu mencapai sasaran RM80 bilion berbaki tempoh beberapa bulan akan datang,” katanya selepas merasmikan kilang dan bengkel berpusat syarikat kenderaan logistik Steelbro di Telok Gong di sini hari ini.
Pada Selasa lepas, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Selangor yakin nilai pelaburan yang direkodkan negeri itu pada tahun ini mampu melepasi paras RM100 bilion berdasarkan momentum dan trend pelaburan yang memberangsangkan.

Sze Han berkata pencapaian positif itu adalah hasil kerjasama erat kerajaan negeri dengan Invest Selangor dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dalam menarik pelaburan ke Selangor.
“Kerjasama ini penting bagi mengukuhkan lagi momentum pelaburan khususnya yang berkualiti tinggi sekali gus memastikan projek yang diluluskan dapat direalisasikan.
“Kita menyaksikan prestasi pelaburan Selangor terus merekodkan angka membanggakan dengan mencatat RM101 bilion pelaburan diluluskan pada 2024 manakala RM70 bilion bagi separuh pertama tahun ini," katanya.
Mengenai Belanjawan Selangor 2027, beliau berkata Menteri Besar telah mempengerusikan satu dialog bersama profesor universiti dan pemegang taruh baru-baru ini.
“Perjumpaan itu bagi membincang dan mendapatkan pandangan atau kehendak daripada semua pihak meliputi sektor yang berbeza.
“Kita mahu menjadikan bajet yang akan diumumkan pada pertengahan November ini lebih sesuai dan memfokuskan kepada pembangunan negeri,” katanya.
Dalam pada itu, Sze Han berkata Selangor merupakan pintu masuk perdagangan Malaysia ke pasaran global, disokong oleh sektor logistik yang kukuh.
“Cita-cita kita adalah jelas, iaitu mahu bergerak ke tahap lebih tinggi dalam rantaian nilai, pembuatan dan kejuruteraan.
“Sehubungan itu, saya menggalakkan Steelbro, syarikat dari New Zealand itu untuk terus melabur dalam pembangunan jurutera dan juruteknik kita, selain (memperkukuh kerjasama dengan) pembekal dan institusi tempatan,” katanya.








