Selangor sasar syarikat EU mahu perluas perniagaan ke ASEAN

13 Okt 2026, 10:00 AM
Selangor sasar syarikat EU mahu perluas perniagaan ke ASEAN
Selangor sasar syarikat EU mahu perluas perniagaan ke ASEAN

KUALA LUMPUR, 13 OKT: Selangor meletakkan dirinya sebagai pangkalan strategik bagi syarikat Kesatuan Eropah (EU) yang mahu mengembangkan perniagaan ke rantau ASEAN, bersandarkan ekosistem perindustrian, jaringan perdagangan dan kemudahan pelaburan negeri.

Dato’ Seri Amirudin Shari mengalu-alukan syarikat Eropah untuk menjadikan Selangor sebagai pintu masuk ke rantau ini, selain menegaskan komitmen negeri membantu syarikat meneroka pasaran serantau.

“Dalam tempoh tujuh bulan pertama 2026, Selangor menduduki tempat kedua dari segi jumlah perdagangan di seluruh negara dengan pertumbuhan lapan peratus.

“Pencapaian ini disokong oleh lapangan terbang antarabangsa, pelabuhan di Klang serta jaringan rel yang menyediakan akses terus ke Malaysia dan pasaran ASEAN yang lebih luas.

“Sesi mengenai rantaian bekalan dan mobiliti pada pagi ini akan meneroka bagaimana kita menghubungkan Selangor dengan dunia,” katanya ketika berucap pada forum EU-Malaysia Business Day 2026: Selangor in Focus di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Selangor menarik pelaburan diluluskan berjumlah RM22.1 bilion dari 16 negara Eropah bagi tempoh 2021 hingga 2025, membabitkan 308 projek yang mewujudkan 12,653 peluang pekerjaan, sekali gus mencerminkan hubungan ekonomi yang semakin erat antara negeri itu dengan EU.

https://mediaselangor.com/ms/2026/10/400936

Forum berkenaan dianjurkan agensi pelaburan negeri, Invest Selangor Bhd, bersempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) yang berlangsung esok hingga Sabtu.

Amirudin turut memaklumkan tentang penyertaan delegasi Selangor dalam SIBS@ASEAN di Bandung, Indonesia, pada Julai lalu, yang membabitkan 74 syarikat dan menjana potensi transaksi bernilai RM253.9 juta.

Beliau berkata sektor elektrik dan elektronik (E&E) merekodkan pelaburan RM18.2 bilion bagi tempoh 2021 hingga 2025, sekali gus menjadi antara penyumbang utama kepada prestasi pelaburan pembuatan negeri.

Selangor turut mencatatkan jumlah perdagangan RM665.4 bilion pada 2025, merangkumi 17 peratus daripada eksport Malaysia dan 26.3 peratus daripada import negara.

Menurutnya, keupayaan perindustrian negeri membuka lebih banyak peluang kerjasama dengan syarikat Eropah dalam sektor semikonduktor, pembuatan termaju dan rel, selain ekosistem aeroangkasa yang telah kukuh.

“Sekitar 68 peratus daripada industri aeroangkasa Malaysia berpusat di Selangor, menjadikan negeri ini hab utama bagi sektor berkenaan.

“Syarikat Eropah, termasuk yang telah menubuhkan pusat kecemerlangan ASEAN bagi penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) di sini, sudah menjadi sebahagian daripada ekosistem ini.

“Hampir keseluruhan industri pengangkutan awam negara juga berpusat di Selangor,” katanya.

Beliau berkata Selangor menyasarkan untuk memperkukuh kerjasama dengan syarikat EU dalam sektor semikonduktor dan pembuatan termaju, selain mempercepat pendigitalan dan peralihan hijau, memperkukuh pembangunan bakat serta membangunkan rantaian bekalan yang lebih berdaya tahan dan mampan.

Amirudin berkata Kerajaan Negeri akan terus menjalin hubungan dengan negara Eropah bagi mengukuhkan kerjasama ekonomi serta menterjemahkan perbincangan kepada peluang pelaburan baharu.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.