SHAH ALAM, 30 JULAI: Selangor terus memperkukuh sektor pelaburannya menerusi pemeteraian Perjanjian Jual Beli (SPA) antara Lion Group Property dan Outdo Property Sdn Bhd bagi pengambilalihan tanah perindustrian seluas 10 ekar di Banting Industrial City (BIC).
EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor Ng Sze Han berkata pemeteraian perjanjian itu merupakan satu lagi langkah ke hadapan dalam memperkukuh kedudukan negeri sebagai destinasi pilihan pelabur.
"Peristiwa penting ini merupakan satu lagi langkah ke hadapan dalam mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai destinasi pelaburan pilihan," katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.

Beliau berkata Kerajaan Negeri kekal komited memudah cara pelaburan berkualiti yang mampu menjana peluang pekerjaan berkualiti, memperkukuh industri tempatan serta memacu pertumbuhan ekonomi negeri secara mampan.
Sze Han turut menghadiri majlis berkenaan dan menyaksikan pemeteraian SPA antara Lion Group Property dan Outdo Property Sdn Bhd di BIC hari ini.







