Cerun selamat: Lorong kiri KM263.6 PLUS arah selatan dibuka semula - Polis

12 Sep 2026, 7:52 AM
Cerun selamat: Lorong kiri KM263.6 PLUS arah selatan dibuka semula - Polis

IPOH, 12 SEPT: Lorong kiri di kawasan tanah runtuh di Kilometer (KM) 263.6 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan yang ditutup sebelum ini dibuka semula kepada semua jenis kenderaan pada 1 tengah hari tadi.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata hasil penilaian teknikal oleh pihak berkaitan mendapati keadaan cerun di lokasi adalah selamat.

“Sehubungan dengan itu, lorong kiri arah selatan yang sebelum ini ditutup telah dibuka semula dan pergerakan trafik di kedua-dua arah dilaporkan lancar.

“Kerja baik pulih cerun akan diteruskan pihak berkaitan bagi memastikan keadaan kawasan itu kekal selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, beliau menasihatkan semua pengguna lebuh raya supaya sentiasa berhati-hati, mematuhi arahan serta papan tanda keselamatan dan mengurangkan kelajuan terutama ketika hujan atau cuaca buruk.

Terdahulu, penutupan lorong kiri di kawasan tanah runtuh di KM 263.6 arah selatan lebuh raya itu dilaksanakan dengan pemasangan kon keselamatan dari KM 262.8 hingga KM 263.8 sejauh kira-kira satu kilometer.

Semalam, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan kejadian cerun runtuh di KM 263.6 arah selatan lebuh raya itu dari Terowong Menora ke Ipoh menyebabkan kesesakan trafik sejauh 15 km yang juga disebabkan oleh kerja pembersihan di lokasi.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.