PLUS jangka trafik cecah 2.2 juta kenderaan sehari sempena cuti sekolah, perayaan

21 Mei 2026, 4:43 AM
PLUS jangka trafik cecah 2.2 juta kenderaan sehari sempena cuti sekolah, perayaan
PLUS jangka trafik cecah 2.2 juta kenderaan sehari sempena cuti sekolah, perayaan
PLUS jangka trafik cecah 2.2 juta kenderaan sehari sempena cuti sekolah, perayaan
PLUS jangka trafik cecah 2.2 juta kenderaan sehari sempena cuti sekolah, perayaan
PLUS jangka trafik cecah 2.2 juta kenderaan sehari sempena cuti sekolah, perayaan

SHAH ALAM, 21 MEI: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan aliran trafik di seluruh rangkaian lebuh raya termasuk Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) meningkat hingga 2.2 juta kenderaan sehari sepanjang cuti pertengahan tahun persekolahan bermula esok hingga 7 Jun ini.

Peningkatan trafik itu dijangka susulan cuti berganda membabitkan sambutan Aidiladha, Wesak dan Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam tempoh sama.

PLUS dalam kenyataan hari ini memaklumkan, LPT2 dijangka menerima sehingga 50,000 kenderaan sehari pada puncak sepanjang tempoh berkenaan.

Menurut kenyataan itu, aliran trafik keluar dari Lembah Klang dijangka memuncak pada 22, 23, 26, 28, 29, 30 dan 31 Mei.

Sementara itu, perjalanan pulang ke Lembah Klang dijangka tertumpu dari 4 hingga 7 Jun apabila pengguna mula kembali selepas tamat cuti.

Sehubungan itu, pengguna lebuh raya dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal bagi mengurangkan risiko terperangkap dalam kesesakan trafik.

PLUS turut menggalakkan pengguna mengikuti jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA menerusi aplikasi PLUS bagi membantu melancarkan perjalanan.

Bagi menghadapi peningkatan jumlah kenderaan, PLUS memaklumkan beberapa langkah sudah diambil termasuk mengaktifkan Smart Lane di 33 lokasi tumpuan trafik untuk meningkatkan kapasiti lorong.

Selain itu, lebih 500 anggota PLUSRonda dan LPT2Ronda akan ditugaskan menjalankan rondaan selama 24 jam sehari di seluruh rangkaian lebuh raya terbabit.

PLUS turut memaklumkan operasi plaza tol akan dioptimumkan menerusi pembukaan semua lorong tol dan pemantauan trafik masa nyata melalui Pusat Pemantauan Trafik (TMC) selain kerjasama bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) serta agensi berkaitan bagi memastikan aliran trafik lancar dan keselamatan pengguna terus terjamin.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.