Program keagamaan semai kecintaan kepada Rasulullah, negara dan keluarga

12 Sep 2026, 8:00 AM
Program keagamaan semai kecintaan kepada Rasulullah, negara dan keluarga

GOMBAK, 12 SEPT: Pelbagai program keagamaan yang dianjurkan Kerajaan Negeri termasuk Darul Ehsan Berselawat menjadi wadah menyemai kecintaan kepada Rasulullah SAW, selain membentuk masyarakat yang menyayangi keluarga, negara dan kehidupan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kecintaan terhadap Rasulullah SAW perlu dipupuk dalam jiwa umat Islam kerana nilai itu menjadi asas kepada kecintaan terhadap perkara lain dalam kehidupan.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berucap ketika majlis sambutan Maulidur Rasul di Masjid Jamiatus Solahiah, Gombak pada 12 September 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

“Kita wajar memupuk dan membaja rasa kecintaan dengan baik ke jiwa anak-anak dan seluruh umat Islam kerana kecintaan inilah yang menjadi asas kepada kecintaan terhadap perkara lain.

“Dengan mencintai Rasulullah SAW, menyayangi Baginda, secara tak langsung kita akan menjadi pencinta sejati. Kita cintakan negara, keluarga, kerjaya, kehidupan kita. Insya-Allah jadi cinta sebenar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Maulidur Rasul 1448 Hijrah di Masjid Jamiatus Solahiah, Selayang dekat sini hari ini.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari bersalaman bersama penduduk ketika majlis sambutan Maulidur Rasul di Masjid Jamiatus Solahiah, Gombak pada 12 September 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Menurutnya, Darul Ehsan Berselawat yang kini memasuki siri kesembilan menjadi antara medan untuk mendekatkan masyarakat dengan Rasulullah SAW melalui pengisian selawat dan pengajian bersama ulama.

“Program Darul Ehsan Berselawat dah masuk sembilan siri. Kita jemput kumpulan popular, ulama antaranya Habib Ali Zainal Abidin Assegaf serta Majelis Az Zahir dan kumpulan Babul Mustofa. Kita jemput ratusan ribu orang,” katanya.

Amirudin berkata usaha menyemai kecintaan kepada Rasulullah SAW turut diteruskan menerusi penerbitan buku Muhammad: Riwayat Hidup Berdasarkan Sumber Terawal, terjemahan daripada karya ulama sufi Martin Lings atau nama Islamnya Abu Bakar Sirajuddin.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari memotong rambut majlis cukur jambul ketika sambutan Maulidur Rasul di Masjid Jamiatus Solahiah, Gombak pada 12 September 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Katanya, penerbitan berkenaan bertujuan mendekatkan masyarakat dengan kehidupan Rasulullah SAW, termasuk hubungan Baginda bersama para sahabat dan ahli keluarga.

“Kita juga mahu masyarakat dekat dengan Nabi Muhammad SAW, para sahabat dan keluarga. Paling terkini, ada naskhah berkenaan isteri, pasangan Rasulullah SAW.

“Kita juga terbitkan (buku) senarai sahabat-sahabat, pengalaman orang yang dekat dengan Rasulullah dan ahli keluarga. Ada bapa mentua, menantu yang begitu rapat untuk cerminkan kehidupan Rasulullah SAW,” katanya.

Dalam pada itu, pengasas Persatuan Muballighat Negeri Selangor, Hindon Abdullah dinobatkan sebagai Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Negeri Selangor 2026.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.