Ribuan hadir Darul Ehsan Berselawat meriahkan Festival Kesenian Islam Selangor di Gombak

28 Dis 2025, 3:21 PM
Ribuan hadir Darul Ehsan Berselawat meriahkan Festival Kesenian Islam Selangor di Gombak
Ribuan hadir Darul Ehsan Berselawat meriahkan Festival Kesenian Islam Selangor di Gombak

GOMBAK, 28 DIS: Ribuan penduduk Gombak membanjiri kawasan lapang di Taman Sri Gombak Fasa 3 di sini, bagi mengimarahkan program Darul Ehsan Berselawat.

Program yang diadakan sempena Festival Kesenian Islam Selangor daerah Gombak itu bermula seawal 2 petang dengan pelbagai pengisian termasuk acara jualan dan solat Maghrib berjemaah.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Amirudin Shari dalam ucapannya meluahkan rasa syukur kerana dapat merealisasikan impian untuk menganjurkan Darul Ehsan Berselawat di Gombak.

Dato’€™ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menghadiri program Darul Ehsan Berselawat di Taman Seri Gombak pada 28 Disember 2025.Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

“Alhamdulillah cita-cita saya untuk membawa Darul Ehsan Berselawat ke bumi Gombak, akhirnya dapat kita laksanakan hari ini.

“Saya masih ingat pada 2022, sehari sebelum pilihan raya, kita anjurkan Darul Ehsan Berselawat di Sungai Chincin. Antara yang saya lafazkan adalah mahu anjurkan acara ini setiap tahun.

“Daripada situlah, hari ini kita sudah sembilan kali anjurkan Darul Ehsan Berselawat. Malah saya juga sangat gembira kerana selepas itu di mana-mana daerah dianjurkan majlis selawat,” katanya.

Amirudin yang hadir bersama isterinya, Datin Seri Masdiana Muhamad turut mengingatkan umat Islam di Selangor untuk terus melazimi selawat sebagai sebahagian daripada rutin kehidupan.

Menurutnya, pembangunan dan kemajuan negeri ini harus diseimbangkan dengan ajaran agama serta kerohanian bagi membentuk masyarakat yang lebih sejahtera.

Dato’ Menteri Besar Dato’€™ Seri Amirudin Shari menyampaikan ucapan pada program Darul Ehsan Berselawat di Taman Seri Gombak pada 28 Disember 2025.Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

“Insya-Allah lantunan selawat tidak akan berakhir di sini. Amalkanlah setiap masa, di mana-mana sahaja. Semoga selawat menjadi sebahagian daripada amalan kehidupan seharian kita,” katanya.

Terdahulu, acara berkenaan dimulakan dengan bacaan Dalail Khairat, lantunan qasidah daripada kumpulan Angham Anisah serta persembahan kumpulan Majelis Az Zahir.

Darul Ehsan Berselawat peringkat Gombak turut diserikan dengan tausiyah yang disampaikan ustaz Azian Man dan diakhiri dengan persembahan selawat oleh Habib Ali Zainal Abidin Assegaf serta Majelis Az Zahir.