SHAH ALAM, 7 JUN: Lebih 500 pemain daripada lebih 40 pasukan berhimpun dalam Selangor Youth Netball Challenge 2026 (SYNC26) di Strand Mall, Kota Damansara semalam, sekali gus mencerminkan perkembangan positif sukan bola jaring akar umbi di negeri ini.
Penganjur dalam kenyataan memaklumkan kejohanan yang diilhamkan Team360 dan KD Netball Club itu menjadi platform penting untuk mencungkil serta membangunkan bakat muda melalui pendedahan kepada suasana pertandingan yang kompetitif.
Menurutnya, kejohanan berkenaan bukan sahaja mengasah kemahiran pemain, malah memupuk semangat kesukanan, kerja berpasukan dan pembentukan sahsiah dalam kalangan atlet muda.
SYNC26 mempertandingkan tiga kategori iaitu Bawah 12 Tahun (U12), Bawah 15 Tahun (U15) dan Terbuka yang melibatkan pemain Bawah 18 Tahun (U18), Bawah 23 Tahun (U23) serta kategori dewasa.
“Sepanjang kejohanan sehari itu, peserta bersaing dalam lebih 1,500 minit aksi bola jaring yang menampilkan kemahiran, keazaman dan semangat tinggi terhadap sukan ini,” menurut kenyataan itu.
Penganjur berkata kejohanan berkenaan turut menghimpunkan pemain, jurulatih, ibu bapa dan peminat sukan sebagai sokongan terhadap usaha memperkukuh pembangunan bola jaring di peringkat akar umbi.
Menurutnya, penganjuran SYNC26 membuktikan pembangunan sukan belia terus mendapat sambutan apabila semakin ramai atlet muda diberikan peluang menimba pengalaman pertandingan serta membina keyakinan diri dalam persekitaran yang tersusun.
Sementara itu, Pengarah Pertandingan Aisha Haris berkata sukan belia memainkan peranan penting dalam membentuk generasi masa depan menerusi penerapan nilai disiplin, daya tahan, semangat berpasukan dan budaya kesukanan.
“Selangor Youth Netball Challenge bukan sekadar kejohanan, tetapi platform untuk atlet muda menyerlahkan potensi, membina persahabatan dan mencipta pengalaman bermakna melalui sukan.
“Kami berbangga dapat menyediakan ruang kepada pemain bola jaring yang bercita-cita tinggi untuk terus mengembangkan bakat dan mengejar impian mereka,” katanya.
Bagi menghargai pencapaian peserta, pasukan yang muncul juara dan berprestasi cemerlang menerima hadiah wang tunai, trofi, pingat serta e-sijil.
Penganjur turut merakamkan penghargaan kepada rakan strategik kejohanan termasuk PIBG SK Seksyen 11 Kota Damansara, ForFit, Klinik Aufa, Threesixty Sports, Surge+, KD Sports Academy dan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi MARA (UiTM).








