SHAH ALAM, 12 SEPT: Pelaburan RM90 juta oleh Mondelēz Malaysia menerusi pembukaan Crumb Tower baharu di kilang pembuatannya di sini dijangka memperkukuh kapasiti pengeluaran bagi memenuhi pasaran Malaysia dan Asia Tenggara.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pelaburan itu menjadi satu lagi pencapaian penting buat Selangor selain mencerminkan keyakinan berterusan syarikat berkenaan terhadap negeri ini sebagai destinasi pelaburan strategik.
Menurutnya, Mondelēz Malaysia mempunyai sejarah panjang di Selangor dengan produk Cadbury dihasilkan di Shah Alam sejak 1974.
“Pelaburan RM90 juta ini menandakan satu lagi pencapaian penting untuk Selangor dan akan memperkukuh kapasiti pengeluaran bagi memenuhi pasaran di seluruh Malaysia serta Asia Tenggara.
“Cadbury merupakan jenama yang dekat dengan generasi rakyat Malaysia dan produknya telah dihasilkan di Shah Alam sejak 1974, mencerminkan kehadiran jangka panjang Mondelēz Malaysia serta keyakinan berterusan terhadap Selangor sebagai destinasi pelaburan strategik,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Semalam, Amirudin merasmikan pelancaran Crumb Tower baharu Mondelēz Malaysia di kilang syarikat itu di sini.
Beliau berkata kemudahan baharu yang dilengkapi teknologi moden dan tahap automasi lebih tinggi itu mampu meningkatkan kecekapan pengeluaran, selain menyokong kira-kira 250 pekerja tempatan.
Katanya, pelaburan berkenaan juga dijangka membuka lebih banyak peluang kepada perniagaan dalam rantaian bekalan.
“Ketika teknologi dan kecerdasan buatan terus mengubah dunia pekerjaan, kita perlu memastikan rakyat dilengkapi kemahiran yang diperlukan untuk masa depan.
“Selangor mesti terus memberi tumpuan kepada penghasilan produk berkualiti tinggi, meningkatkan produktiviti dan bergerak ke arah industri bernilai lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata Kerajaan Negeri menerusi Invest Selangor dan pihak berkuasa tempatan akan terus memudah cara pelaburan serta menyediakan persekitaran kondusif kepada syarikat untuk memulakan, mengembangkan dan mengukuhkan operasi mereka.
"Tahniah Mondelēz Malaysia. Kami berharap dapat mengalu-alukan lebih banyak pelaburan yang mewujudkan pekerjaan berkualiti serta memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat Selangor," katanya.









