Anggota polis trafik maut motosikal bergesel tayar lori

11 Sep 2026, 9:21 AM
Anggota polis trafik maut motosikal bergesel tayar lori

SHAH ALAM, 11 SEPT: Seorang anggota polis maut selepas motosikal yang ditungganginya dipercayai bergesel dengan tayar lori di Jalan Kebun, Klang dekat sini pada Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Lim Jit Huey berkata mangsa berusia 41 tahun yang bertugas di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam meninggal dunia di lokasi kejadian.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kemalangan yang berlaku pada 8.30 malam itu melibatkan sebuah motosikal dan lori.

“Kejadian berlaku ketika anggota polis itu menunggang motosikal dari arah Jalan Kebun menghala ke Rimbayu. Motosikal mangsa kemudian dipercayai bergesel dengan bahagian tayar sebuah lori sehingga hilang kawalan lalu terjatuh di atas jalan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lim berkata mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang bagi proses bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi BSPT Klang Selatan atau balai polis berhampiran,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar menerusi platform Facebook rasmi Polis Selangor menzahirkan ucapan takziah atas pemergian Allahyarham Koperal Izwan Napiah.

“Allahyarham yang bertugas di BSPT Shah Alam telah 22 tahun berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia. Pemergian Allahyarham satu kehilangan besar buat warga polis kontinjen Selangor. Salam takziah,” katanya.

-- BERNAMA

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.