SHAH ALAM, 27 OKT: Pengarah syarikat pemilik asal kapal tangki MT Global 168 antara dua lelaki ditahan polis susulan rampasan 1.16 tan ketamin oleh pihak berkuasa Indonesia minggu lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata kedua-dua lelaki tempatan berusia 45 dan 44 tahun itu ditahan di Johor Bahru pada Ahad lalu, lapor Harian Metro.
“Lelaki berusia 45 tahun itu adalah pengarah syarikat pemilik asal kapal tangki MT Global 168, manakala lelaki berusia 44 tahun pula ejen atau broker penjualan kapal berkenaan.
"Siasatan awal mendapati kapal itu dibeli pada April lalu untuk dijual semula selepas kerja refurbished (baik pulih) bagi mendapatkan keuntungan.
"Kapal MT Global 168 kemudian dijual kepada sebuah syarikat yang beralamat di Yangon, Myanmar, pada 28 Jun lalu melalui ejen atau broker," katanya hari ini.
Hussein berkata kedua-dua lelaki direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 1 November ini bagi membantu siasatan.
Menurutnya, siasatan turut mengenal pasti tiga individu lain yang dipercayai warga Singapura, Taiwan dan Myanmar yang dikehendaki bagi membantu siasatan.







