SHAH ALAM, 11 SEPT: Kualiti udara di enam kawasan pemantauan di Selangor masih berada pada tahap sederhana setakat 9 pagi ini, dengan Johan Setia merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) tertinggi iaitu 99, hampir memasuki paras tidak sihat.
Menurut portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS), lima lagi kawasan turut mencatatkan bacaan sederhana iaitu Shah Alam (77), Klang (71), Petaling Jaya (70), Banting (70) dan Kuala Selangor (68).
Bacaan IPU antara 51 hingga 100 dikategorikan sebagai sederhana, manakala bacaan 101 hingga 200 berada pada tahap tidak sihat.
Secara keseluruhan, sebanyak 14 kawasan di seluruh negara mencatatkan bacaan IPU tidak sihat setakat 9 pagi ini.
Sarawak merekodkan jumlah kawasan paling banyak terjejas dengan 11 kawasan iaitu IPD Serian (197), Kuching (181), Samarahan (179), Sri Aman (172), Sarikei (163), Samalaju (161), Sibu (157), Mukah (155), Bintulu (153), Miri (147) dan ILP Miri (147).
Di Sabah pula, Politeknik Kota Kinabalu mencatatkan bacaan 150, manakala Pasir Gudang di Johor merekodkan 109 dan Labuan 103.
Secara keseluruhan, 49 kawasan di seluruh negara berada pada tahap sederhana, manakala lima kawasan mencatatkan bacaan baik.
Berdasarkan klasifikasi IPU, bacaan sifar hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat dan 301 ke atas berbahaya.







