SHAH ALAM, 11 SEPT: Malaysia perlu memperkukuh keupayaan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) komponen pesawat dalam negara bagi mengurangkan kebergantungan kepada fasiliti luar negara, sekali gus memendekkan tempoh penyelenggaraan, meningkatkan daya saing dan mengurangkan kos.
Ketua Pegawai Eksekutif National Aerospace Industry Corporation (NAICO) berkata perkembangan sektor MRO, khususnya penyelenggaraan enjin dan komponen, memberi peluang besar kepada Malaysia untuk memperkukuh ekosistem aeroangkasa dengan membangunkan lebih banyak syarikat yang dapat menyokong pemain MRO utama.
Menurut Shamsul Kamar Abu Samah, ketika ini kebanyakan komponen enjin pesawat dari Malaysia masih dihantar ke luar negara untuk kerja penyelenggaraan atau pembaikan.

“Kebanyakan komponen enjin kita dihantar ke luar Malaysia untuk disenggara atau dibaiki. Apa yang kita perlukan ialah menarik lebih banyak syarikat tempatan untuk menceburi bidang ini bagi menyokong organisasi MRO, khususnya pemain utama,” katanyaketika dihubungi Media Selangor baru-baru ini.
Shamsul menambah, Malaysia mungkin tidak dapat melaksanakan semua jenis kerja pembaikan dalam negara, namun perlu berusaha melaksanakan sebanyak mungkin aktiviti MRO di sini sama ada menerusi syarikat tempatan atau perusahaan kecil dan sederhana (PKS) asing yang beroperasi di Malaysia.
“Tidak semua perkara boleh dilakukan di Malaysia. Jadi, kita perlu melokalkan sebanyak mungkin aktiviti,” katanya sambil menambah langkah itu dapat mengurangkan kebergantungan kepada fasiliti luar negara, selain membuka peluang kepada lebih banyak PKS tempatan dan asing untuk membangunkan kepakaran serta menyediakan perkhidmatan sokongan kepada industri MRO.
Shamsul berkata Malaysia telah berjaya menarik beberapa syarikat aeroangkasa global dan projek pengembangan MRO sejak beberapa tahun kebelakangan ini, namun ekosistem sedia ada masih perlu diperkukuh bagi menyokong fasa pertumbuhan seterusnya.
Katanya, selain menarik lebih banyak pelaburan berkualiti, Malaysia memerlukan lebih banyak PKS tempatan dan asing untuk melengkapkan rangkaian syarikat yang menyokong industri aeroangkasa.

Teknologi pacu keupayaan MRO
Dalam masa sama, Shamsul berkata perkembangan MRO perlu disokong penggunaan teknologi lebih maju supaya Malaysia mampu mengendalikan kerja pembaikan komponen yang lebih kompleks.
Antara teknologi berkenaan termasuk pembaikan bahan komposit, percetakan 3D, pemesinan termaju, automasi dan robotik.
Menurutnya, penggunaan teknologi itu dapat mengurangkan kebergantungan kepada proses kerja tradisional yang banyak dilakukan secara manual, selain meningkatkan produktiviti dan keupayaan industri mengendalikan kerja bernilai lebih tinggi.
Beliau berkata teknologi pembuatan termaju juga boleh digunakan dalam kerja pembaikan komponen, sekali gus membolehkan lebih banyak kerja kompleks dilaksanakan dalam negara.
18,000 pekerja tambahan diperlukan
Sementara itu, Shamsul berkata perkembangan sektor MRO dan pembuatan aeroangkasa dijangka meningkatkan permintaan terhadap tenaga kerja berkemahiran, dengan industri itu diunjurkan memerlukan kira-kira 18,000 pekerja tambahan dalam tempoh lima tahun akan datang.
Bagaimanapun, katanya, tenaga kerja masa depan perlu mempunyai kemahiran teknikal dan digital pada tahap lebih tinggi bagi memenuhi keperluan industri yang semakin berasaskan teknologi.

Antara kemahiran diperlukan termasuk pengaturcaraan, reka bentuk semula proses serta penggunaan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), Internet Benda (IoT) dan alat analitik.
Katanya, peningkatan kemahiran serta penggunaan teknologi lebih meluas penting bagi membantu industri meningkatkan produktiviti, memendekkan tempoh penyelenggaraan, mengekalkan kualiti dan kekal berdaya saing.
Selangor kukuh asas aeroangkasa
Dalam konteks Selangor, Shamsul berkata kepekatan syarikat aeroangkasa dan keupayaan kejuruteraan di negeri itu menyediakan asas kukuh untuk menjadi pemangkin kepada perkembangan sektor berkenaan.
Katanya, hampir 70 peratus aktiviti aeroangkasa Malaysia tertumpu di Selangor, dengan kebanyakan aktiviti dijalankan di Kuala Lumpur, Cyberjaya dan Sepang.

“Kebanyakan aktiviti dijalankan di Kuala Lumpur, Cyberjaya dan Sepang, jadi kita perlu memperluaskan aktiviti ini kerana keupayaan kejuruteraan yang lebih kukuh membolehkan kita menjalankan aktiviti bernilai lebih tinggi atau membangunkan produk yang lebih kompleks.”
Beliau berkata pembangunan fasiliti dan infrastruktur termasuk usaha menjana semula Lapangan Terbang Subang serta pembangunan hab aeroangkasa di Sepang dan Subang penting bagi menarik pelaburan bernilai lebih tinggi dan membangunkan kluster aeroangkasa yang lebih bersepadu.
Menurut Shamsul, matlamat akhirnya ialah mewujudkan ekosistem lengkap yang membolehkan syarikat aeroangkasa mendapatkan lebih banyak perkhidmatan dan kepakaran dalam negara, manakala PKS Malaysia pula berupaya membangunkan keupayaan untuk memenuhi keperluan syarikat antarabangsa dan menembusi pasaran global.









