SERDANG, 26 JUN: Selangor memberi tumpuan kepada pemindahan teknologi, peningkatan kemahiran perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan serta pengukuhan rantaian bekalan industri aeroangkasa bagi membina ekosistem yang lebih berdaya tahan dan menyokong pertumbuhan sektor itu secara mampan.
Ketua Unit Khas Aeroangkasa dan Penerbangan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Zaniffa Azura Ahmad berkata usaha menarik lebih banyak syarikat aeroangkasa ke negeri ini perlu disertai dengan pemindahan teknologi supaya syarikat tempatan dapat turut menikmati manfaat daripada perkembangan industri berkenaan.
Menurutnya, projek Selangor Aero Park bukan sahaja bertujuan menarik pelaburan, malah memberi penekanan kepada peningkatan keupayaan PKS dan pembekal tempatan bagi mengukuhkan rantaian bekalan yang mampu menyokong keperluan pemain industri.
“Bagi projek Selangor Aero Park, kita mahu menarik syarikat-syarikat aeroangkasa, tetapi pada masa sama mereka perlu memindahkan teknologi. Ini bermakna kita perlu meningkatkan kemahiran PKS dan pembekal tempatan serta mengukuhkan rantaian bekalan bagi menyokong pemain industri.
“Pendekatan itu akan mewujudkan ekosistem yang lebih berdaya tahan sekali gus memastikan kelestarian industri aeroangkasa di Selangor,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Forum Aeroangkasa Selangor di MAEPS, hari ini.
Zaniffa berkata kesiapsiagaan sektor aeroangkasa kini tidak lagi tertumpu kepada pembangunan infrastruktur fizikal semata-mata, sebaliknya turut melibatkan keupayaan digital, keselamatan siber, integrasi sistem dan pembangunan kemahiran khusus yang semakin penting seiring perkembangan industri.
“Itulah aspek yang perlu kita beri tumpuan ketika ini, bukan hanya infrastruktur fizikal,” katanya.
Beliau menambah Selangor turut berhasrat memainkan peranan lebih aktif dalam meneroka peluang baharu dalam industri aeroangkasa menerusi kerjasama dengan pihak pengawal selia dan rakan industri bagi membangunkan ekosistem yang kondusif.
Katanya, usaha itu termasuk mewujudkan persekitaran sandbox bagi menguji dan membangunkan teknologi baharu yang berpotensi meningkatkan daya saing industri aeroangkasa negeri.







