PUTRAJAYA, 10 SEPT: Pemaju dan sektor perniagaan perlu diwajibkan memasukkan langkah tebatan banjir dalam projek masing-masing, bukannya mengharapkan Kerajaan Selangor menanggung keseluruhan kos berkenaan.
Penasihat Ekonomi Pejabat Perdana Menteri, Nurhisham Hussein berkata sektor swasta perlu turut terlibat dalam usaha adaptasi perubahan iklim memandangkan perniagaan juga akan terjejas akibat isu seperti banjir dan peningkatan paras air.
“Satu perkara ialah mendapatkan penglibatan sektor swasta kerana mereka juga terkesan,” katanya ketika menjawab soalan Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin pada Sesi Libat Urus Belanjawan Negeri Selangor 2027 di Hotel Le Meridien, di sini hari ini.
Jamaliah bertanyakan langkah yang boleh diambil kerajaan negeri bagi menangani perubahan iklim meskipun berdepan peruntukan terhad, selain projek perintis yang boleh dilaksanakan bagi menarik lebih banyak pembiayaan Kerajaan Persekutuan.
Nurhisham mencadangkan kerjasama lebih erat dengan syarikat besar yang beroperasi di kawasan terjejas, termasuk syarikat logistik MMC dan Westports serta syarikat berkaitan perladangan kerana mereka mempunyai aset ekonomi yang perlu dilindungi.
“Mereka juga perlu proaktif dengan bekerjasama bersama kerajaan negeri untuk mewujudkan langkah tebatan,” katanya merujuk kepada keperluan menangani kesan peningkatan paras air.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Institut Pengajian Asia-Eropah Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Rajah Rasiah berkata perlindungan iklim dan alam sekitar perlu dilihat sebagai kepentingan awam kerana manfaat serta kesan negatifnya melangkaui komuniti atau perniagaan tertentu.
Beliau berkata Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri perlu bekerjasama dalam dasar berkaitan iklim, dengan Kerajaan Persekutuan menyediakan hala tuju keseluruhan manakala kerajaan negeri melaksanakan langkah berdasarkan keperluan setempat.
“Iklim ialah kepentingan awam,” katanya sambil menegaskan tindakan bersepadu diperlukan bagi memaksimumkan manfaat pelaburan awam dalam perlindungan alam sekitar.
Menjawab soalan berasingan daripada Exco Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari berkaitan pendidikan, STEM dan pembangunan bakat, Rajah berkata Malaysia perlu memperkukuh sistem pendidikan serta membina ekosistem lebih kukuh yang menghubungkan kerajaan, industri, akademia, masyarakat sivil dan alam sekitar.
“Prestasi Malaysia dalam penilaian antarabangsa seperti PISA dan TIMSS masih ketinggalan berbanding negara termasuk Vietnam, manakala penekanan lebih besar perlu diberikan kepada pembangunan bakat berkemahiran tinggi dan usaha mengekalkan rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara.
“Kita perlu mencari penyelesaian untuk semua perkara ini,” katanya sambil menambah gaji lebih baik, peluang kerjaya dan ekosistem inovasi diperlukan bagi menggalakkan tenaga mahir Malaysia kekal dalam negara.
Nurhisham pula berkata penglibatan ibu bapa yang lebih aktif dalam pendidikan turut dapat membantu meningkatkan prestasi pelajar.
Pada masa sama, katanya, industri perlu memainkan peranan lebih besar dalam pendidikan dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), termasuk pembangunan kurikulum serta bahan latihan.
“Penglibatan industri yang lebih rapat dapat memastikan graduan dilengkapi kemahiran yang sepadan dengan keperluan sebenar tenaga kerja,” katanya.







