SHAH ALAM, 30 JUL: Keberkesanan keseluruhan projek tebatan banjir di Petaling Jaya, Damansara dan Shah Alam hanya dapat dinilai selepas semua komponen siap dan beroperasi sepenuhnya.
EXCO Infrastruktur Dato' Ir Izham Hashim menjelaskan projek tebatan banjir itu dijalankan secara berfasa sama ada pembangunan penyelesaian jangka pendek, sederhana dan panjang.
Beliau berkata pihaknya juga kerap menilai keberkesanan infrastruktur tebatan banjir mengikut perkembangan pembangunan, perubahan guna tanah, data hidrologi dan corak taburan hujan.
Menurutnya, sebahagian besar sistem saliran sedia ada berfungsi mengikut reka bentuk asal sedangkan berlaku perubahan iklim termasuk hujan luar jangka yang melebihi kapasiti sistem.
Katanya, banjir di bandar lazimnya bukan berpunca daripada faktor tunggal sebaliknya gabungan faktor antaranya fenomena air balik, kesesakan aliran air, mendapan, halangan dalam saliran serta hujan lebat luar jangka yang melebihi kapasiti reka bentuk sistem.
Beliau berkata kawasan berturap kian bertambah manakala kawasan hijau dan resapan air semakin berkurangan hingga menyebabkan jumlah air larian permukaan naik ketara dan mengalir lebih pantas ke sistem saliran.

"Perubahan landskap bandar, pertambahan kawasan berturap, peningkatan intensiti hujan dan pertumbuhan pembangunan menyebabkan kapasiti sistem sedia ada perlu dipertingkat secara berperingkat.
"Perlu difahami bahawa projek tebatan banjir bertujuan mengurangkan risiko dan dampak banjir, bukannya menghapuskan risiko banjir secara mutlak.
"Manfaat keseluruhan projek dapat dinilai apabila semua komponen projek siap dan beroperasi sepenuhnya seiring sistem saliran yang dilaksanakan atau dinaik taraf pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya.
Sehubungan itu, Kerajaan Negeri akan meneruskan pelaburan yang besar dalam projek tebatan banjir, menaik taraf sungai dan sistem saliran serta memperkukuh infrastruktur berkaitan.
“Kerajaan turut menggalakkan penerapan konsep Nature-Based Solutions (Penyelesaian Berasaskan Alam Semula Jadi) seperti sponge city (bandar span) dalam pembangunan baharu bagi membantu mengurangkan aliran air hujan ke dalam sistem saliran,” katanya.
"Di Petaling, JPS mengoperasikan 19 stesen hujan (telemetri), 11 stesen pemantauan paras sungai, 18 IP Camera (CCTV), 25 stesen siren amaran banjir dan 7 tolok banjir," katanya.
Beliau juga menjelaskan usaha mengurangkan risiko banjir bukan hanya dijalankan JPS tetapi melibatkan pelbagai agensi termasuk PBT dan Jabatan Kerja Raya.








