SHAH ALAM, 22 OKT: Peningkatan pendapatan bersih bulanan median pemandu e-hailing sehingga RM227 menerusi Belanjawan 2027 disambut baik Persatuan Pemandu-Pemandu Grab Malaysia (GDMA) kerana dapat membantu meringankan beban kos sara hidup.
Presidennya, Mohd Azril Ahmat berkata inisiatif itu merupakan langkah positif untuk membantu pemandu menampung perbelanjaan harian dan kos operasi kenderaan, meskipun peningkatan berkenaan tidak begitu besar berbanding pendapatan sedia ada.

“Sebagai pemandu, saya melihat penambahbaikan ini sebagai satu langkah yang baik, walaupun jumlah peningkatan tersebut tidak begitu besar berbanding pendapatan sedia ada.
“Namun, tambahan pendapatan ini sedikit sebanyak dapat membantu kami menampung kos sara hidup yang semakin meningkat,” katanya kepada Media Selangor.
Selain peningkatan pendapatan, pakej berkenaan turut merangkumi bantuan kos penyelenggaraan kenderaan dan insurans serta caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi memperkukuh perlindungan sosial pekerja gig.
Selain peningkatan pendapatan, pakej berkenaan turut merangkumi bantuan kos penyelenggaraan kenderaan dan insurans serta caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi memperkukuh perlindungan sosial pekerja gig.
Pada 9 Oktober lalu, Perdana Menteri mengumumkan pakej bernilai RM160 juta menerusi Belanjawan 2027 yang dibiayai bersama oleh kerajaan dan Grab mulai 2027 bagi meningkatkan pendapatan bersih serta menambah baik kebajikan pekerja e-hailing dan p-hailing.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pendapatan bersih bulanan median pemandu e-hailing dijangka meningkat sehingga RM227, manakala pendapatan penghantar p-hailing pula meningkat sehingga RM100 sebulan.
Inisiatif itu merupakan langkah sementara sementara Majlis Perundingan Gig memuktamadkan rundingan berkaitan kadar pendapatan minimum, formula pendapatan dan standard minimum perlindungan sosial pekerja gig, yang dijangka selesai pada awal 2027.






