KPDN perkenal Pasar PATUH, pengguna boleh semak sendiri ketepatan timbangan

10 Sep 2026, 9:30 AM
KPDN perkenal Pasar PATUH, pengguna boleh semak sendiri ketepatan timbangan

SHAH ALAM, 10 SEPT: Pengguna di tujuh pasar awam terpilih di Selangor kini boleh menyemak sendiri ketepatan timbangan barangan menerusi Program Pasar PATUH 2026 yang dilancarkan di Pasar Suntex Cheras, hari ini.

Selain Pasar Suntex Cheras, program anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor turut dilaksanakan di Pasar Moden Seksyen 16, Pasar PJKITA Taman Megah, Pasar Awam Dengkil, Pasar Moden MPS Taman Sri Gombak, Pasar Awam Sabak Bernam dan Pasar Awam Kuala Kubu Bharu.

Pengarah KPDN Selangor, Muhamad Hanif Asa’ari berkata Kaunter Semak Timbang Layan Diri disediakan di setiap lokasi bagi membolehkan pengguna memastikan berat barangan yang dibeli adalah tepat.

Katanya, program berkenaan merupakan pendekatan advokasi untuk meningkatkan pematuhan peniaga terhadap perundangan di bawah seliaan KPDN, selain mewujudkan persekitaran perniagaan yang telus, adil, beretika dan mesra pengguna.

“Pendekatan ini bukan sekadar memastikan peniaga mematuhi peraturan, malah menggalakkan pematuhan dijadikan sebagai sebahagian daripada budaya perniagaan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Pengarah KPDN Selangor, Muhamad Hanif Asa’ari meninjau keadaan di Pasar Suntex Cheras selepas melancarkan Program Pasar PATUH 2026 pada 10 September 2026. Foto KPDN Selangor

Menurutnya, konsep PATUH berteraskan lima prinsip utama iaitu penandaan harga yang jelas, penggunaan alat timbang yang telah ditentusahkan, transaksi yang jelas dan telus, urus niaga yang jujur serta harga berpatutan tanpa unsur pencatutan.

Bagi menyokong pelaksanaan prinsip itu, KPDN turut menyediakan Tanda Harga PATUH kepada peniaga supaya harga barangan dipamerkan dengan jelas dan mudah dilihat pengguna.

Muhamad Hanif berkata program berkenaan turut mendapat kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Pertubuhan Peladang, Metrology Corporation Malaysia Sdn Bhd (MCM), De Metrology Sdn Bhd serta persatuan peniaga.

Katanya, kerjasama itu penting bagi meningkatkan kesedaran peniaga terhadap pematuhan undang-undang, selain memastikan urus niaga di pasar awam lebih telus dan mesra pengguna.

KPDN Selangor berharap pelaksanaan secara berfasa itu dapat menggalakkan persaingan sihat serta melindungi hak dan kepentingan pengguna.

Pengguna yang mempunyai aduan atau maklumat berkaitan pelanggaran peraturan boleh menyalurkannya menerusi WhatsApp KPDN di 019-848 8000, Call Centre 1-800-886-800, e-mel e-aduan@kpdn.gov.my atau aplikasi Ez ADU KPDN.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.