EXCO: Kemahiran AI generatif, teleoperasi robot tingkat kebolehpasaran rakyat

26 Ogos 2026, 2:38 PM
EXCO: Kemahiran AI generatif, teleoperasi robot tingkat kebolehpasaran rakyat
EXCO: Kemahiran AI generatif, teleoperasi robot tingkat kebolehpasaran rakyat
EXCO: Kemahiran AI generatif, teleoperasi robot tingkat kebolehpasaran rakyat

SHAH ALAM, 26 OGOS: Penguasaan kemahiran teleoperasi robot dan kecerdasan buatan (AI) generatif mampu meningkatkan kebolehpasaran serta membuka peluang kerjaya baharu kepada rakyat Selangor.

EXCO Sumber Manusia V Papparaidu berkata kemahiran teknologi masa hadapan penting bagi membantu tenaga kerja menyesuaikan diri dengan perubahan landskap pekerjaan.

“Teleoperasi robot dan AI generatif bukan sekadar trend teknologi, sebaliknya merupakan kemahiran masa hadapan yang boleh meningkatkan nilai diri dan membuka peluang kerjaya baharu.

“Transformasi digital juga tidak seharusnya dilihat sebagai ancaman kepada pekerja, sebaliknya peluang untuk meningkatkan kemahiran dan melahirkan tenaga kerja yang lebih produktif serta bernilai tinggi,” katanya.

Seorang peserta sedang berlatih mengendalikan lengan robotik di Kursus Kemahiran Teknologi Teleoperasi Robot dan AI Generatif di Pusat Perniagaan Worldwide, Shah Alam pada 26 Ogos. Foto ADAM DARWISH/MEDIA SELANGOR

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program Kemahiran Teknologi Teleoperasi Robot dan Program Kemahiran Teknologi AI Generatif di Pusat Pembangunan Tenaga Manusia Selangor (SHRDC) di sini, hari ini.

Menurutnya, seramai 80 peserta mengikuti kedua-dua program berkenaan yang ditaja sepenuhnya Kerajaan Negeri sebagai sebahagian daripada usaha memperkasa kemahiran rakyat.

Papparaidu berkata kerjasama antara kerajaan, institusi latihan dan industri perlu terus diperkukuh bagi memastikan kemahiran yang diberikan memenuhi keperluan pasaran pekerjaan semasa.

“Peserta perlu mengamalkan konsep ‘learning, relearning and upskilling’, iaitu terus belajar, mempelajari semula perkara baharu dan meningkatkan kemahiran agar kekal relevan dengan kehendak industri.

“Saya berharap peserta dapat menjadi generasi tenaga kerja baharu yang berani meneroka teknologi, mencuba perkara baharu dan menyesuaikan diri dengan perkembangan industri,” katanya.

EXCO Sumber Manusia V Papparaidu diiringi wakil SHRDC meninjau pameran robotik pada Kursus Kemahiran Teknologi Teleoperasi Robot dan AI Generatif di Pusat Perniagaan Worldwide, Shah Alam, 26 Ogos. Foto ADAM DARWISH/MEDIA SELANGOR

Beliau berkata Kerajaan Negeri akan terus memberi perhatian terhadap program pembangunan kemahiran teknologi bagi melahirkan modal insan berkemahiran tinggi, inovatif dan berdaya saing.

Menurutnya, akses kepada program berkenaan juga perlu diperluas supaya lebih ramai anak muda, belia dan golongan profesional dapat meningkatkan kemahiran.

“Program kemahiran teknologi seperti ini perlu diteruskan dan diperluaskan kerana Selangor memerlukan tenaga kerja yang mampu bergerak seiring dengan perkembangan teknologi.

“Dengan kemahiran yang bersesuaian, rakyat bukan sahaja dapat meningkatkan kebolehpasaran, malah berpeluang merebut pekerjaan berkemahiran tinggi yang semakin berkembang,” katanya.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.