Lori bawa sisa binaan ditahan dalam operasi banteras sampah haram di Sepang - KDEBWM

10 Sep 2026, 5:31 AM
Lori bawa sisa binaan ditahan dalam operasi banteras sampah haram di Sepang - KDEBWM

SHAH ALAM, 10 SEPT: Sebuah lori membawa muatan sisa binaan dipercayai untuk dibuang secara haram ditahan pihak penguat kuasa ketika operasi bersepadu di beberapa lokasi sekitar Parlimen Sepang, semalam.

Tindakan itu antara hasil pemeriksaan menerusi sesi lawatan ‘Terjah dan Tindak’ yang diketuai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) merangkap Ahli Parlimen Sepang, Datuk Aiman Athirah Sabu bersama KDEB Waste Management (KDEBWM) dan agensi berkaitan.

Pemeriksaan turut mendapati aktiviti pembuangan sampah haram masih berlaku di beberapa lokasi, selain mengesan kejadian pembakaran terbuka.

KDEBWM berkata sesi berkenaan turut disertai Pejabat Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sepang, Pejabat Daerah dan Tanah Sepang, Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Antara lokasi pembuangan sampah haram yang dikesan ketika operasi ‘Terjah dan Tindak’ di sekitar Parlimen Sepang pada 9 September 2026. Foto Facebook KDEB Waste Management

Menurutnya, tindakan bersepadu itu memberi tumpuan kepada usaha menghentikan aktiviti pembuangan haram, mencegah kewujudan lokasi baharu dan mengambil tindakan terhadap pihak yang terlibat.

“Dalam pemeriksaan di salah satu lokasi, sebuah lori yang membawa muatan sisa binaan dipercayai untuk dibuang di kawasan berkenaan turut ditahan pihak penguat kuasa bagi pemeriksaan dan tindakan lanjut,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Dalam pada itu, KDEBWM berkata lokasi pembuangan sampah haram akan ditutup dan dipulihkan secara berperingkat dengan kerjasama pihak berkuasa serta agensi berkaitan.

Menurut KDEBWM, pihaknya akan terus memberikan sokongan operasi mengikut skop, arahan dan prosedur ditetapkan bagi memastikan pengurusan serta pelupusan sisa dilaksanakan secara teratur, selamat dan mematuhi peraturan berkuat kuasa.

Kejadian pembakaran terbuka turut dikesan ketika operasi ‘Terjah dan Tindak’ di sekitar Parlimen Sepang pada 9 September 2026. Foto Facebook KDEB Waste Management

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.