Para SUKMA: Kemalangan ubah haluan, penampilan sulung Muhammad Yunus raih Perak

10 Sep 2026, 7:00 AM
Para SUKMA: Kemalangan ubah haluan, penampilan sulung Muhammad Yunus raih Perak

SHAH ALAM, 10 SEPT: Bermula sekadar melayari media sosial selepas kemalangan motosikal, Muhammad Yunus Mohammad Muhayadin Abdullah, 20, kini mampu tersenyum bangga apabila meraih pingat perak dalam penampilan sulungnya di Para Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.

Bekas atlet hoki itu meraih pencapaian berkenaan menerusi acara beregu para tenpin boling bersama Nadia Syafika Abdul Rahman, 31, yang turut dianggapnya sebagai idola selepas kembali aktif dalam sukan susulan kemalangan pada 2022.

Muhammad Yunus berkata penglibatannya dalam para tenpin boling bermula kira-kira dua tahun lalu ketika mencari aktiviti untuk mengisi masa lapang selepas tidak lagi mempunyai hala tuju dalam sukan.

“Saya baharu masuk sukan ini sekitar dua tahun lalu. Sebelum ini saya kemalangan, ketika itu saya tidak bersukan dan tidak tahu mahu buat apa. Jadi saya melayari media sosial dan ternampak pasukan para tenpin boling Selangor,” katanya kepada Media Selangor.

Atlet Selangor Muhammad Yunus Mohammad Muhayadin Abdullah. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Menurutnya, beliau kemudian menghubungi pasukan berkenaan tanpa meletakkan harapan tinggi sebelum dipelawa menghadiri sesi saringan dan akhirnya terpilih sebagai salah seorang atlet.

Muhammad Yunus berkata penampilan pertama di Para SUKMA memberi pengalaman berharga terutama dalam mengawal tekanan ketika beraksi di pentas besar.

“Cabaran terbesar adalah menghadapi tekanan tetapi kami sentiasa saling menyokong dan membina keserasian,” katanya.

“Apa pun, kami sudah cuba yang terbaik. Sedih itu ada sebab tidak dapat menyumbangkan emas tetapi kami tetap bersyukur kerana dapat pingat perak,” katanya.

Sementara itu, Nadia Syafika yang sudah lima kali menyertai SUKMA berkata beliau berpuas hati dengan pencapaian tersebut, terutama apabila Muhammad Yunus mampu memberikan persembahan terbaik dalam penampilan sulungnya.

“Saya puas hati kerana ini merupakan Para SUKMA pertama dia (Muhammad Yunus). Dia sudah memberikan yang terbaik. Walaupun mendapat pingat perak, kami tetap bersyukur.

“Muhammad Yunus masih muda dan perjalanan dia pun masih panjang,” katanya.

Nadia Syafika Abdul Rahman. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Nadia Syafika berkata mereka membuat persiapan selama dua tahun dengan penambahbaikan dilakukan dari semasa ke semasa bagi meningkatkan keserasian dan prestasi, selain sokongan keluarga yang banyak membantu mereka kekal fokus sepanjang persiapan serta pertandingan.

Beliau berkata pengalaman bertanding mengajar mereka supaya tidak mudah berputus asa apabila berdepan tekanan atau kekecewaan, sebaliknya segera bangkit memperbaiki kelemahan.

“Perlu sentiasa bangkit dan jangan mudah berputus asa,” katanya.

Manakala, bagi Muhammaf Yunus, peluang kembali ke dunia sukan selepas kemalangan membuktikan bahawa kekurangan bukan alasan untuk berhenti mengejar impian.

“Walaupun kita ada kekurangan, jangan putus asa sebaliknya cari apa hobi yang kita minat bangkit dan usaha,” katanya.

Semalam, pasangan atlet beregu ini berjaya merangkul pingat perak menerusi acara para tenpin boling menerusi Para SUKMA 2026 yang berlangsung di Sunway Mega Lanes, di sini.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.