Para SUKMA 2026: Selangor tambah dua emas tenpin boling

9 Sep 2026, 12:00 PM
Para SUKMA 2026: Selangor tambah dua emas tenpin boling
Para SUKMA 2026: Selangor tambah dua emas tenpin boling
Para SUKMA 2026: Selangor tambah dua emas tenpin boling
Para SUKMA 2026: Selangor tambah dua emas tenpin boling

SUBANG JAYA, 9 SEPT: Kontinjen Selangor menambah dua pingat emas dalam acara tenpin boling pada temasya Para Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 hari ini, sekali gus menjadikan keseluruhan kutipan pasukan itu enam emas selepas tiga hari pertandingan.

Pingat emas pertama hari ini disumbangkan gandingan Muhammad Hazmi Khairil Azri dan Muhammad Razif Iskandar Abd Muiz menerusi acara kategori TPB4+TPB4.

TPB merujuk kepada klasifikasi atlet dalam sukan para tenpin boling yang membahagikan peserta mengikut jenis dan tahap ketidakupayaan bagi memastikan pertandingan berlangsung secara adil dan seimbang.

Dalam acara berpasangan, nombor seperti TPB4, TPB8 dan TPB9 menunjukkan klasifikasi atlet, manakala kategori seperti TPB4+TPB4 pula membabitkan gandingan dua pemain daripada klasifikasi sama.

Muhammad Hazmi dan Muhammad Razif Iskandar mencatatkan jumlah keseluruhan 2,405 jatuhan pin selepas mengumpul 431, 392, 376, 388, 403 dan 415 pin dalam enam permainan.

Keputusan itu membolehkan pasangan Selangor mengatasi Sarawak yang meraih pingat perak dengan 2,329 jatuhan pin, manakala Terengganu membawa pulang gangsa selepas mencatatkan 2,207 pin.

Sementara itu, satu lagi emas menjadi milik atlet gandingan berkerusi roda iaitu Ahmad Nazri Hamzah dan Rosheedey Faizal dalam kategori TPB8+TPB8.

Gandingan tersebut berjaya mengumpulkan 1,984 jatuhan pin menerusi enam permainan dengan catatan 262, 314, 344, 375, 322 dan 367 pin.

Mereka menewaskan pasangan Melaka yang memperoleh 1,629 jatuhan pin untuk pingat perak serta Pahang yang mencatatkan 1,063 pin bagi gangsa.

Dalam kategori TPB9+TPB9 pula, yang membabitkan dua atlet ketidakupayaan kaki, gandingan Nadia Syafika Abdul Rahman dan Muhammad Yunus Mohammad Muhayadin Abdullah menghadiahkan pingat perak kepada Selangor selepas mengumpul 2,268 jatuhan pin.

Mereka mencatatkan 396, 370, 393, 358, 380 dan 311 pin, di belakang Sarawak yang muncul juara dengan 2,285 pin, manakala Perak meraih gangsa dengan 2,015 pin.

Seorang lagi wakil Selangor, gandingan Nor Suhaili Yusof dan Muhamad Aminuddin Yusman, menamatkan saingan kategori TPB8+TPB8 di tempat keempat dengan 1,434 jatuhan pin.

Para SUKMA yang berlangsung sejak 5 September lalu mempertandingkan 369 acara membabitkan 10 jenis sukan iaitu renang, olahraga, badminton, ping pong, tenpin boling, boling padang, memanah, catur, boccia dan powerlifting.

Kontinjen Selangor diketuai Lim Yi Wei dengan sasaran 60 pingat emas, selain memburu gelaran juara keseluruhan pada edisi kali ini.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.